Ejen pembantu rumah haram: Imigresen tahan datuk dan datin
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan pasangan suami isteri bergelar datuk dan datin yang disyaki menjalankan kegiatan ejen pembantu rumah asing (PRA) haram.
Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata mereka ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sebuah premis kediaman di Shah Alam, Selangor pada 16 Feb lalu.
Menurutnya, pasangan berusia 66 dan 56 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen kerana disyaki membenarkan mana-mana pendatang tanpa izin memasuki atau tinggal di dalam premis yang mempunyai kepentingan sebagai penyelia atau menguruskan atau mempunyai kawalan ke atas mana-mana premis tersebut.
“Turut ditahan 13 orang wanita kesemuanya adalah warganegara Indonesia yang berumur 22 tahun hingga 47 tahun.
“Siasatan awal mendapati mereka masuk ke negara ini dengan menyamar sebagai pelancong menggunakan pas lawatan sosial (PLS). Lokasi serbuan merupakan rumah kediaman pasangan itu yang turut dijadikan tempat tinggal warganegara Indonesia tersebut.
“Kesemua warga asing tersebut ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan-kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan juga kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya pada kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, warga Indonesia tersebut akan dibekalkan sebagai pembantu rumah dan juga pekerja pembersihan.
Katanya, mereka akan dikenakan bayaran antara RM3,500 hingga RM4,500 seorang sebagai bayaran perkhidmatan mengurus kemasukan yang akan dipotong melalui gaji bulanan.
“Dipercayai pasangan ini (suami isteri) menjalankan aktiviti mengurus kemasukan dan pembekalan pembantu rumah secara haram bersama-sama ejen yang dikenali dari Indonesia.
“Kes akan turut dirujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kementerian Sumber Manusia berkait aktiviti pengambilan dan pembekalan pekerja yang dijalankan tanpa lesen yang sah,” kata Khairul Dzaimee.
Sehubungan itu tegasnya, JIM sentiasa memantau aktiviti penawaran pembantu rumah asing dan pekerja pembersihan harian secara tidak sah ini termasuk di media-media sosial oleh individu atau ejen haram.
“JIM ingin menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan aktiviti ini dan sentiasa merujuk kepada maklumat terkini daripada JIM dan juga JTK Kementerian Sumber Manusia,” jelasnya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai