Skip to main
Logo Malaysiakini

Noraini: Saya terajui Wanita Umno ketika badai melanda

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad berpendapat dia tidak semestinya meneruskan sikap lantang pendahulunya dalam memimpin Wanita Umno.

Sebaliknya, dia berkata pencapaian yang ditunjukkan dalam memperjuangkan golongan wanita dalam parti itu.

"Kita perlu lihat apa yang kita buat pada zaman kita. Suara kuat itu satu hal. Tapi, apa yang kita capai itu lebih penting.

"Kalau kita melihat semula ketika saya menerajui kepimpinan wanita dalam keadaan sukar, kita masih mampu menang PRK dan PRN.

"Ini bukan kerana suara kuat, tapi cara kita kerja," katanya dalam wawancara bersama beberapa media di ibu pejabat Wanita Umno di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dia yang merupakan ahli parlimen Parit Sulong berkata demikian ketika ditanya berkenaan tanggapan umum bahawa dia kurang lantang sebagai ketua Wanita Umno, berbanding pemimpin-pemimpin sebelumnya.

Noraini akan mempertahankan jawatan ketua Wanita Umno dalam pemilihan bulan depan.

Dia akan dicabar Shahrizat Jalil yang mengesahkan akan merebut semula jawatan itu dua minggu lalu. Dia mengetuai sayap itu sejak 2009 sehingga 2018, sebelum digantikan Noraini.

Mengulas lanjut, Noraini berkata dia tidak terkilan apabila timbul dakwaan kepimpinannya dalam Wanita Umno lemah.

Katanya, situasinya berbeza kerana dia memimpin sayap itu sebaik selepas Umno tewas dalam PRU dan menjadi pembangkang.

Noraini dan Shahrizat

"Sebenarnya, saya bangga kerana saya menerajui sayap wanita ketika badai melanda, ketika parti kalah dan jadi pembangkang. Kita memang tidak boleh buat perbandingan dengan zaman dulu.

"Dulu zaman Umno dan BN berkuasa penuh. Saya pula pimpin masa susah.

"Kita kena sedar kita tidak boleh terus bernostalgia, tidak boleh banding ketika zaman Rafidah Aziz, Zaharah Sulaiman dan Kak Jat (Shahrizat). Era itu kita sangat kuat, kita kuasai kerajaan ketika itu," katanya lagi.

Katanya lagi, politik sekarang juga sudah jauh berbeza, justeru cabaran yang diharunginya tidak sama dengan mana-mana kepimpinan sebelumnya.

'Kak Jat mentor sayap wanita'

Berkenaan pemilihan bulan depan, Noraini berkata dia tidak gemar dengan istilah 'lawan' sebaliknya menyifatkan pertembungan bagi jawatan sayap wanita sebagai "pertandingan persahabatan".

"Saya tidak suka perkataan lawan. Saya di sini untuk mempertahankan jawatan saya. Akar umbi nak saya meneruskan perjuangan di sayap.

"Kak Jat memang mentor kepada pergerakan wanita. Keputusan beliau untuk kembali bertanding tidak akan mengurangkan rasa hormat kepadanya.

"Ia satu pertandingan keluarga, ini dalam Umno, bukan luar Umno. Umpama perlawanan persahabatan. Akhirnya, semua yang menang itu adalah orang Umno," katanya lagi.

Pemilihan Umno diadakan bermula 1 Feb lepas hingga 18 Mac ini dengan Persidangan Tahunan Umno Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan pada 1 hingga 26 Feb.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Pusat pula bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Umno Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi Umno pula diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac.