'Super admin' muat turun 3 juta data MySejahtera sebagai langkah keselamatan
Kementerian Kesihatan hari ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa setakat ini tidak berlaku ketirisan data penerima vaksin dalam aplikasi MySejahtera.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni (PH-Sibuti), satu akaun "super admin" - yang dilaporkan memuat turun maklumat peribadi tiga juta penerima vaksin dari dalam aplikasi itu - adalah sebahagian daripada langkah keselamatan ketika ada percubaan untuk menggodam MySejahtera.
"Berkenaan keselamatan aplikasi MySejahtera berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), sudah pasti percubaan serangan sebanyak 1.12 juta kali adalah (jumlah) serangan yang besar.
"Tapi apa yang berlaku, pihak MySejahtera mampu mengawal serangan tersebut dan tiada ketirisan.
"Berkenaan laporan tiga juta data dimuat turun oleh akaun 'super admin', ini adalah langkah keselamatan yang dibuat bila serangan berlaku, 'super admin' terpaksa lakukan tata kelola dan muat naik data-data tersebut," katanya.
Lukanisman menjawab soalan daripada Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berkenaan percubaan untuk menggodam aplikasi MySejahtera sebelum ini.
Pada masa sama, Lukanisman berkata dia tidak dapat memberikan penjelasan lanjut berkenaan perkara itu kerana masih dalam siasatan polis.
Sebelum ini, LKAN Siri 2 untuk 2021 mendapati ada kelemahan dalam aspek keselamatan dalam aplikasi MySejahtera dan MyVAS.
Laporan itu menyatakan bagaimana satu akaun "super admin" memuat turun data peribadi tiga juta penerima vaksin daripada MySejahtera dengan menggunakan sejumlah alamat protokol internet.
Susulan itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengarahkan Cyber Security Malaysia (CSM) untuk menyiasat perkara itu.
Sementara itu, Lukanisman berkata kerajaan sedang menimbang untuk menjadikan MySejahtera sebagai "aplikasi besar" untuk kesihatan awam.
"Kita ingin jadikan aplikasi ini satu 'data raya' di hujung jari, dengan semua maklumat berkenaan kesihatan," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai