Mesyuarat pertama Majlis Ulama Umno luluskan 30 mercu tanda
Majlis Ulama Umno (MUU) memutuskan untuk meluluskan 30 mercu tandanya sebagai perancangan strategik jangka masa pendek dan panjang.
Pengerusinya, Dusuki Ahmad berkata pelaksanaan 30 mercu tanda itu adalah bagi yang memberikan impak kepada parti serta rakyat dan ia adalah fasa permulaan bagi tahun 2023-2024.
"Mercu tanda adalah perancangan strategik jangka masa pendek dan panjang yang memberikan impak kepada parti serta rakyat," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, Dusuki berkata antara mercu tanda itu berupa program halaqah untuk pentarbiahan ahli parti yang akan dilaksanakan di peringkat Bahagian dan Cawangan Umno.
"Kedua, sidang muzakarah meja bulat Majlis Ulama Umno yang akan dikendalikan oleh panel-panel majlis ulama.
"Ia adalah medan untuk mengenal pasti isu-isu kepentingan semasa dan masa hadapan umat Islam seterusnya menghasilkan resolusi yang berimpak tinggi demi pembangunan serta kemajuan ummah.
"Ketiga, menyemarakkan peranan Pusat Islam WTC dengan menjadikan Surau Rahman WTC sebagai antara pusat aktiviti keilmuan Islam semasa menerusi kuliah ilmu secara berkala," katanya.
Bagaimanapun, menurut Dusuki perincian mercu tanda yang lain akan dimaklumkan kepada ahli parti dan umum dari semasa ke semasa.
Namun, kata Dusuki menjadi harapan Majlis Ulama Umno untuk memainkan peranannya dalam parti dan mengutamakan kepentingan ummah selain sentiasa bersama dengan denyut nadi rakyat dalam menangani cabaran semasa selaras dengan kehendak Islam.
Terdahulu, Majlis Ulama Umno (MUU) petang tadi mengadakan mesyuarat tertinggi pertamanya di Bangunan Dato’ Onn, WTC, Kuala Lumpur.
Mesyuarat yang berlangsung selama dua jam itu dipengerusikan Dusuki Ahmad selaku Pengerusi MUU dengan dibantu oleh bekas setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Dr Khairuddin Aman Razali bagi menerajui majlis berkenaan.
Mesyuarat itu dilaksanakan bagi memberi tumpuan kepada skop tugasan dan peranan majlis ulama serta hala tuju dan perancangan strategik 2023 hingga 2024.
Pada 13 Januari lalu, Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga timbalan perdana menteri berkata penubuhan MUU untuk menjadi cerminan kesediaan parti menjalin kerjasama bukan sahaja dalam kalangan rakan gabungan parti tetapi juga badan bukan kerajaan lain.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai