ULASAN | 100 hari kerajaan Anwar: Betulkah Melayu tak puas hati?
ULASAN | Dua hari lepas, terbit laporan kaji selidik yang dibuat oleh firma penyelidikan O2 Malaysia dengan kerjasama lima media arus perdana. Kaji selidik tersebut dilakukan dengan 35,077 pelayar agensi media dari seluruh negara selama 10 hari bermula dari 6 Februari hingga 16 Februari 2023 bertujuan meninjau sentimen rakyat berhubung prestasi kerajaan perpaduan.
Hasil tinjauan tersebut menunjukkan dapatan berikut:
(i) 45 peratus responden menyatakan hala tuju semasa negara betul berbanding 30 peratus responden menyatakan salah.
(ii) 38 peratus responden menyatakan ekonomi negara dari Disember 2022 hingga Februari 2023 Bertambah Baik berbanding 39 peratus responden menyatakan bertambah buruk.
Selain itu, dapatan kaji selidik juga menunjukkan Melayu Semenanjung paling ramai bersikap negatif terhadap kerajaan perpaduan, iaitu:
(i) 43 peratus Melayu Semenanjung menyatakan hala tuju semasa negara salah.
(ii) 53 peratus Melayu Semenanjung menyatakan ekonomi negara dari Disember 2022 hingga Februari 2023 bertambah buruk.
(iii) 71 peratus Melayu Semenanjung menyatakan tidak berpuas hati dengan usaha kerajaan menunaikan manifesto PRU15 mereka berbanding 20 peratus India, 20 peratus Cina, 27 peratus Bumiputera Sarawak, 36 peratus Bumiputera Sabah dan 42 peratus Lain-lain.
Ini menyebabkan laporan tersebut menekankan majoriti kaum Melayu merasakan kerajaan perpaduan tidak berprestasi dengan baik selama 100 Hari memerintah.
Betulkah dapatan ini? Apakah hujah dan alasannya responden tidak berpuas hati ini? Hujah ini dikesampingkan dalam laporan dapatan kajian.
Sebagai perbandingan, lihat dapatan kaji selidik Merdeka Center pada 26 Disember 2022–15 Januari 2023 yang menunjukkan tahap kepuasan hati orang Melayu terhadap
prestasi Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan adalah jauh lebih tinggi.
Misalnya:
(i) 60 peratus responden Melayu berpuas hati terhadap prestasi Anwar sebagai perdana menteri.
(ii) 49 peratus responden berpuas hati terhadap terhadap kerajaan perpaduan.
Biarpun laporan Merdeka Center menunjukkan tahap kepuasan orang Melayu terhadap perdana menteri dan kerajaan perpaduan adalah tinggi, namun rakyat lebih tertarik dengan hasil kaji selidik 02 kerana ia membabitkan responden lebih ramai berbanding kaji selidik Merdeka Center yang membabitkan 1,209 responden.
Namun, timbul pertanyaan. Betul dan tepatkah kaedah penyelidikan 02? Validkah pemilihan responden? Apakah ia dibuat secara sistematik atau tidak?
Misalnya, walaupun melibatkan 35,077 responden, 81 peratus daripadanya adalah lelaki dan 19 peratus responden adalah perempuan yang tidak mencerminkan profil sebenar pengundi Malaysia.
Begitu juga dari segi pecahan etnik, kumpulan umur, penempatan dan kumpulan pendapatan bulanan isi rumah.
Ini berbeza dengan metodologi Merdeka Center yang dibuat secara sistematik mengikut “random stratified sampling” di mana responden dipastikan mencerminkan profil sebenar pengundi Malaysia dari segi umur, etnik, jantina dan kawasan mengundi.
Bagi saya, kaji selidik yang reliable hendaklah cermat dalam aspek metodologi. Jangan dibuat secara rawak kerana ia tidak mencerminkan realiti sebenar di bawah.
Apakah pandangan ini bermakna saya menolak dapatan kaji selidik yang dibuat? Saya menerima maklum balas yang diberi kerana ia berguna untuk saya di J-Kom meningkatkan lagi usaha kami mendekati rakyat dan menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat.
Yang saya tegur ialah dalam menjalankan kaji selidik, gunalah metod ilmiah yang betul supaya dapatannya dapat mengurangkan peratusan kesilapan yang besar.
Selain itu, adalah supaya ia dapat menggambarkan realiti sebenar yang lebih tepat.
Lagipun, kaji selidik ini dibuat sebelum Anwar membentangkan Belanjawan 2023 pada Jumaat lalu yang menggariskan hala tuju Malaysia Madani.
Yakinlah setelah Belanjawan 2023 dilulus dan dilaksanakan, maka hala tuju negara akan lebih jelas, dan ekonomi negara akan bertambah baik.
Semoganya selepas ini, sokongan rakyat—dari semua etnik terhadap perdana menteri dan kerajaan perpaduan akan sentiasa tinggi.
MOHAMMAD AGUS YUSOFF merupakan bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia dan penganalisis politik yang kini bertugas sebagai ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai