Skip to main
Logo Malaysiakini

'Pembaharuan perlu melangkaui kepentingan kerajaan semasa'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pembaharuan harus dilaksanakan melangkaui kepentingan pentadbiran semasa dan bukan untuk mana-mana parti politik tertentu, kata Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Presiden Muda itu berkata ketika dia mendesak “Undi-18” – kempen yang membawa kepada penurunan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun – ia bukanlah untuk membantu mana-mana parti memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-15. .

"Kawan politik cakap you bawa Undi-18, tengok (pengundi) Undi-18 sokong pihak sebelah sana.

"Ini masalah bila orang melihat reforms (pembaharuan) dari sudut satu parti politik.

"Tak pernah terlintas di minda apabila buat reforms, untuk memenangkan parti A, atau B, atau C. Apabila reforms itu memberi manfaat, kita gembira tapi bila kalah, tutup reforms," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Parlimen hari ini.

Dia juga menggesa pembaharuan untuk menetapkan sistem yang adil yang akan mengurangkan toksik dalam politik Malaysia.

“Saya yakin jika ini dapat dilaksanakan, ketegangan di Dewan Rakyat ini dapat dikurangkan.

“Pembaharuan mesti melangkaui mana-mana parti dan kerajaan hari ini.

“Malaysia yang maju ialah Malaysia yang diterajui oleh institusi yang kukuh,” katanya.

PM tak boleh jadi menteri kewangan

Sementara itu, Syed Saddiq berkata dia bersetuju dengan cadangan Mohd Radzi Md Jidin (Perikatan Nasional-Putrajaya) supaya undang-undang menghalang perdana menteri daripada memegang jawatan menteri lain.

"Saya setuju. Saya tak boleh cakap saya faham apa yang dilalui perdana menteri. Dalam pembentukan kerajaan perpaduan, ketidakstabilan politik, penubuhan kerajaan pada peringkat awal. Saya tak boleh kata saya faham apa yang beliau lalui.

"Tapi bergerak ke hadapan, jika boleh setujui akta yang tidak membolehkan perdana menteri ambil portfolio kewangan itu. Itu adalah langkah yang baik, bukan perkara baru. Pernah dicadangakan beberapa tahun lepas," katanya sambil menambah bahawa tindakan sedemikian akan menyediakan sistem semak dan imbang.

Sebelum ini, Radzi berkata terdapat risiko salah guna kuasa tanpa semak dan imbang.

Anwar kini memegang jawatan perdana menteri dan menteri kewangan, yang mengundang kritikan.

Sebelum Anwar, Najib Razak adalah perdana menteri terakhir yang juga memegang jawatan menteri kewangan.

Pendahulu Najib Abdullah Ahmad Badawi dan Dr Mahathir Mohamad juga memegang kedua-dua jawatan itu semasa tempoh pentadbiran masing-masing.