Skip to main
Logo Malaysiakini

Johor dilanda banjir, lebih 500 keluarga dipindah ke PPS

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Beberapa kawasan di Johor dilaporkan dilanda banjir dan peningkatan paras air susulan hujan lebat, dengan 25 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka setakat pagi ini.

Setakat sembilan pagi ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPNB) Johor melaporkan seramai 2,162 orang dari 581 keluarga di Segamat, Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, dan Kulai, telah dipindahkan, dengan lebih ramai lagi akan menyusul.

Segamat kekal sebagai daerah paling terjejas dengan 209 keluarga dan 746 orang ditempatkan di PPS, dengan dua jalan utama menghubungkan kawasan sekitar termasuk Chaah, Tenang, Yong Peng dan Labis ditutup ekoran peningkatan paras air.

Menurut data negeri, Jalan Bekok dan Jalan Kampung Tenang ditutup untuk semua kenderaan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor melaporkan operasi menyelamat yang dijalankan bomba Labis diambil alih oleh pasukan dari Yong Peng dan Chaah.

Balai Polis Labis pula telah dinaiki air sehingga paras lutut.

Di Kota Tinggi, paras air di kawasan perumahan Taman Aman dilaporkan meningkat malam tadi.

Awal pagi ini, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi turun ke lapangan bagi memantau usaha menyelamat di Bandar Dato Onn, Johor Bahru.

Semalam, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir berdasarkan ramalan hujan yang dibuat Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dan hasil simulasi model ramalan banjir.