Warga maya dakwa kebocoran data di laman MyTax LHDN
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjadi tumpuan susulan dakwaan kebocoran data di portal dalam talian yang disediakan untuk pembayar cukai membuat pemfailan cukai.
Awal hari ini, warga maya mendakwa di media sosial bahawa maklumat peribadi pembayar cukai boleh diakses oleh sesiapa sahaja melalui laman sesawang MyTax LHDN, yang berfungsi sebagai pusat sehenti untuk pembayar cukai mengendalikan urusan cukai dalam talian.
Menurut catatan umum di Facebook, warga maya termasuk pakar IT menegaskan bahawa seseorang hanya memerlukan nombor MyKad untuk mengakses maklumat sensitif seperti alamat rumah, nombor telefon, nombor akaun bank, alamat e-mel dan nombor cukai.
"Bahaya sistem kerajaan begini. Baru masuk IC (nombor kad pengenalan). Belum login, habis semua data keluar termasuk kata frasa.
"Cukup dengan IC kita sahaja, orang boleh bongkar alamat rumah, nombor telefon, nombor bank akaun, e-mel, nombor cukai," kata pengguna Facebooke Muhammad Fauzzury.
Sebuah laman Facebook dengan nama 'Pendakwah Teknologi', yang mempunyai lebih 21,000 pengikut, memperincikan langkah bagaimana maklumat itu boleh diakses oleh sesiapa sahaja menggunakan nombor kad pengenalan.
"Saya jarang nak marah betul terhadap sesuatu perkara tapi hari ni ada satu masalah yang buat saya betul-betul marah.
"Masalah ini melibatkan sistem MyTAX oleh LHDN.
"Adakah anda tahu yang kita boleh gunakan sistem MyTAX ni untuk mendapat maklumat sulit seseorang individu dengan hanya menggunakan nombor kad pengenalan mereka sahaja? Tak payah tahu password apa pun. Nombor IC sudah sukup," katanya dalam satu hantaran.
Hantaran itu turut menanda Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Seorang lagi pengguna Facebook yang menyorot isu yang sama secara berseloroh mencadangkan agar orang ramai menggunakan peluang tersebut untuk mendapatkan maklumat menarik tentang ahli politik.
"Beberapa nombor IC ahli politik diketahui umum, saya rasa anda boleh menyemak nombor telefon mereka dengan cara ini," katanya.
Malaysiakini telah menghubungi LHDN dan Fahmi untuk mendapatkan maklum balas mereka terhadap isu tersebut.
Difahamkan laman sesawang MyTax diturunkan sejak tengah hari tadi, tetapi tidak dapat dipastikan jika ia ada kaitan dengan isu kebocoran.
Bagaimanapun, semakan pada jam 4.30 petang mendapati laman sesawang itu kembali dalam talian.
Difahamkan bahawa pentadbir halaman telah menyulitkan (encrypted) data peribadi di tapak sesawang, untuk menyukarkan ia daripada diakses oleh orang ramai.
Bagaimanapun, seorang pengaturcara komputer memberitahu Malaysiakini bahawa punca masalah itu masih belum ditangani.
Dia juga menunjukkan tangkapan skrin yang menunjukkan cara nombor telefon, e-mel dan alamat seseorang dipaparkan secara terbuka hanya dengan memasukkan nombor kad pengenalan orang itu ke alamat API (antara muka pengaturcaraan aplikasi). API merujuk kepada perisian yang direka untuk berkomunikasi dan berkongsi data dengan perisian lain.
"Mereka hanya menyembunyikan 'pintu' yang tidak berkunci, tetapi jika anda tahu di mana 'pintu' itu, anda masih boleh masuk. Jadi, masalahnya masih ada - 'pintu' masih tidak berkunci," katanya.
Namun, LHDN berkata data pembayar cukai yang disimpannya kekal selamat.
“LHDN ingin menegaskan bahawa kerahsiaan data pembayar cukai di platform MyTax adalah selamat dan terjamin kerana ia diindungi oleh teknologi keselamatan data yang diiktiraf.
"LHDN amat memandang serius berkenaan isu ini dan meletakkannya sebagai keutamaan yang tertinggi dalam usaha meningkatkan keyakinan serta kepercayaan pembayar cukai terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh LHDN dalam
urusan pentadbiran percukaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai