ULASAN | Apa di sebalik keputusan AS tak guna kuasa veto?
Sejak kemenangan Parti Likud pimpinan Benjamin Netanyahu dengan parti ultra ortodoks dan sayap kanan yang meraih majoriti di Knesset dalam pilihan raya 1 November lepas, ancaman terhadap ke atas penduduk Palestin khususnya di Tebing Barat semakin menjadi-jadi.
Terbaru Netanyahu pada 12 Februari lepas memutuskan untuk membina 10,000 unit rumah baharu di sembilan kawasan penempatan haram di wilayah-wilayah yang diduduki di Tebing Barat menjadi keprihatinan antarabangsa.
Situasi kebimbangan ini membawa Majlis Keselamatan (MK) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam hasrat Israel meluaskan penempatan haram di atas tanah milik Palestin. Ini adalah kali pertama dalam tempoh enam tahun Amerika Syarikat (AS) membenarkan agensi itu mengeluarkan kenyataan rasmi ke atas sekutu kuatnya.
Sokongan Washington bagi kenyataan presiden - tindakan yang perlu dipersetujui sebulat suara oleh ahli majlis seramai 15 anggota itu - diperoleh selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyatakan tidak akan mengemukakan draf resolusi yang lebih tegas mengenai isu tersebut untuk pengundian, langkah yang boleh mendorong AS menggunakan kuasa veto.
Draf resolusi yang dilihat Reuters itu menuntut Israel "serta-merta menghentikan segala aktiviti petempatan di wilayah Palestin yang didudukinya".
Namun AS bijak memandang ke depan dalam situasi geopolitik tidak menggunakan kuasa veto menjadikan draf resolusi bertukar sekadar kenyataan ketegasan yang tidak membawa nilai dan pemaknaan dari segi undang-undang di peringkat antarabangsa terutama dalam PBB.
Buat julung kalinya MK mengeluarkan (dengan persetujuan AS tidak menggunakan kuasa vetonya) kenyataan rasmi mengutuk rancangan Israel untuk meluaskan penempatan di wilayah Palestin yang diduduki di Tebing Barat.
Ini menunjukkan perkembangan sihat bagi dunia antarabangsa apabila MK (persetujuan sebulat suara lima negara anggota tetap) sendiri sudah menunjukkan ketegasan dan kebimbangannya dalam isu rancangan penempatan haram.
Namun ingin juga ditanya kenapakah AS melanggar kelaziman tidak mempertahankan sekutu akrab dunia akhiratnya kali ini? Adakah tindakan AS tidak menggunakan kuasa veto mempunyai agenda tersembunyi telunjuk lurus kelingking berkait bagi menjaga kepentingan rejim pengganas itu?
Adakah AS jujur dengan tindakan dan bertindak melindungi dan membela nasib rakyat Palestin yang diancam keganasan rejim pengganas Yahudi-Zionis ini?
Perbincangan positif
Apa di sebalik sikap AS tidak mengunakan kuasa veto tersebut? Perhatikan kenyataan UAE yang memberitahu rakan Majlis Keselamatan (19 Februari lalu) bahawa ia tidak akan mengundi bagi draf resolusi itu semalam, "memandangkan terdapat perbincangan positif antara pihak terbabit".
Bahkan Pejabat Perdana Menteri Israel kemudian berkata, Israel tidak akan meluluskan penempatan baharu di Tebing Barat yang diduduki pada beberapa bulan akan datang.
Duta AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield, memberitahu MK, negara itu tidak bersetuju dengan rancangan penempatan Israel yang diumumkan pada 12 Februari lalu.
"Langkah-langkah sehala ini meningkatkan ketegangan. Ia menghakis kepercayaan antara pihak-pihak terbabit. Ia menjejas prospek bagi huraian dua negara yang dirundingkan. AS tidak menyokong tindakan tersebut," katanya.
Jika meneliti kenyataan UAE dan kenyataan duta AS ke PBB ada beberapa perkara yang boleh difikirkan membawa kepada kenapa AS tidak menggunakan kuasa veto.
Alasan pertama, AS bersama rejim haram Israel dan Pihak Berkuasa Palestin (PA) sedang mengadakan rundingan Aqaba pada masa itu dan tidak mahu menjejaskan sebarang perbincangan dalam rundingan ini. Inilah yang dimaksudkan UAE perkembangan positif antara pihak terbabit.
Pihak Israel tentu sudah bersetuju dengan keputusan AS untuk menggunakan kuasa veto kerana tidak mahukan menjejaskan rundingan kepada penyelesaian dua negara dalam konflik Palestin-rejim haram Israel.
Namun perjanjian akan melemahkan Palestin kerana antara kandungannya ialah kedua-dua pihak harus menahan diri dan mengelakkan daripada mengambil tindakan-tindakan unilateral sehingga Ogos dan warga Palestin tidak akan membawa isu konflik ke atas Israel di PBB, badan-badan antarabangsa lain seperti mahkamah dunia dan Majlis Hak Asasi PBB.
Sejauh manakah Israel menghormati syarat perjanjian ini dalam tindakan uniteral kerana serangan tentera Israel di Nablus pada Rabu lalu (22 Feb 2023) yang membunuh sekurang-kurangnya 11 penduduk Palestin dan mencederakan lebih 100 yang lain.
Dan sebarangan kenyataan terkejut Netanyahu berhubung AS tidak menggunakan kuasa veto sekadar wayang sahaja bagi mengukuhkan sokongan rakyat rejim haram Israel terhadap kerajaannya.
Alasan atau rasional kedua, AS tidak menggunakan kuasa veto kerana ia akan mengundang krisis yang lebih besar.
Sekiranya rakyat Palestin berang dan membuat tindak balas serangan sama ada Hamas, Jihad Islam, mungkin Fatah dan sekutunya dan kumpulan hak asasi dan kumpulan NGO dan pejuang lain, ia membawa perpaduan dan sokongan menyeluruh warga Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang tidak pernah dilihat rejim pengganas Israel sebelum ini.
Elak heret Rusia, China
AS juga tidak mahu isu ketegangan ini membawa kepada sokongan Rusia dan China untuk terjun terlibat dalam konflik ini. Ini akan merubah peta geopolitik Timur Tengah terutamanya dalam kalangan rakan sekutunya seperti Arab Saudi yang sedang merintis hubungan dagang dengan China.
AS juga mahukan sokongan sekutu Baratnya berterusan dalam menentang Rusia di peringkat antarabangsa. AS juga tidak mahukan Rusia dan China campur tangan dalam konflik Palestin-rejim haram Israel secara langsung dan mempengaruhi dunia Islam dan MK.
Kenyataan Thomas-Greenfield akan meningkat ketegangan ada kaitan dengan perkara di atas.
Untuk rekod ini bukan kali pertama AS tidak menggunakan kuasa veto, jika sesiapa masih ingat pada Disember 2016, duta AS ke PBB semasa itu, Susan Rice tidak menggunakan kuasa vetonya dalam resolusi MK PBB yang mengutuk sekerasnya kegiatan penempatan haram peneroka Yahudi di Tebing Barat. Tetapi ini berlaku semasa penghujung pemerintahan Presiden Barrack Obama yang kemudian digantikan Presiden Donald Trump.
OIeh itu keputusan AS tidak memberi makna apa-apa kepada warga Palestin dan dunia antarabangsa.
Balik kepada soalan walhasil balik asal atau pi mai pi mai tang tu, adakah MK berkehendak mengambil tindakan keras ke atas Israel yang tidak pernah menghormati undang-undang antarabangsa dalam isu tindakan keganasan dan kezaliman yang dilakukan sejak regim haram itu ditubuhkan?
Soalan berikutnya apakah tindakan susulan MK bagi menangani isu ini dan
adakah MK akan meneruskan keprihatinannya membela nasib rakyat Palestin yang sentiasa dizalimi rejim haram Israel? Kita ingin sokongan padu dan komitmen daripada kelima-lima negara anggota MK!
ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pemerhati isu geopolitik dan perhubungan antarabangsa.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai