Skip to main
Logo Malaysiakini

Ubat PrEP kaedah pencegahan HIV tambahan, kata timbalan menteri

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Kementerian Kesihatan digesa untuk melaksanakan kaedah seperti program penghindaran (abstinens) dalam pencegahan penularan jangkitan HIV, dan bukannya memberikan ubat profilaksis prapendedahan (PrEP) secara percuma di klinik awam.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata kementerian sudah menjalankan program abstinens tetapi ia tidak mencukupi untuk mengurangkan jumlah jangkitan HIV terutama dalam kalangan belia.

"KKM sentiasa mengutamakan pencegahan berlandaskan nilai-nilai murni seperti abstinens namun mutakhir ini isu penyalahgunaan substans memberikan cabaran besar kepada usaha pencegahan sedia ada.

"Justeru, PrEP adalah kaedah pencegahan tambahan yang ternyata berkesan yang perlu disediakan sebagai suplemen kepada usaha pencegahan sedia ada seperti advokasi abstinens, kondom, pengurangan risiko dan lain-lain,” kata Lukanisman ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan menteri itu menegaskan data kesihatan menunjukkan lebih tiga perempat kes HIV baru dilaporkan setiap tahun terdiri daripada golongan belia.

"Lebih tiga per empat bersamaan 77 peratus kes baru yang dilaporkan setiap tahun terdiri daripada golongan muda berumur di antara 20 hingga 39 tahun dan lebih 90 peratus adalah kaum lelaki.

"Ini juga menunjukkan bahawa pendedahan kepada jangkitan HIV telah bermula daripada bangku persekolahan lagi," katanya.

Lukanisman menjawab soalan Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) yang menyoal mengenai projek perintis PrEP.

Ahmad Yunus (gambar, atas) juga kemudiannya berkata menyediakan PrEP untuk mencegah jangkitan HIV boleh dilihat sebagai menggalakkan atau membenarkan "pengamal seks songsang", dan mencadangkan Kementerian Kesihatan meneroka kaedah pencegahan lain.

KKM berpendirian bahawa pemberian PrEP bertujuan mengurangkan kadar jangkitan HIV dan bukan untuk menggalakkan tingkah laku seksual yang menyimpang, kata Lukanisman.

Katanya, KKM tidak boleh selektif tentang kumpulan mana yang layak menerima PrEP.

Pandangan ini kemudiannya disokong oleh Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) yang berkata, sebagai seorang doktor yang mengangkat sumpah Hippocratic, mereka mempunyai kewajipan untuk merawat sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang pesakit.

Sebelum ini, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata pihaknya belum mengeluarkan sebarang fatwa berhubung larangan pemberian PrEP kepada pasangan homoseksual bagi mencegah HIV.

Pengerusi Mais, Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata perkara itu akan diteliti oleh jawatankuasa fatwa dan bahagian perundangan sebelum mewartakan larangannya.

Abdul Aziz, berkata Mais menolak pemberian ubat berkenaan kerana homoseksual adalah bercanggah dengan ajaran Islam.

Pada 19 Jan lalu, Jabatan Mufti Negeri Selangor melarang pemberian ubat PrEP yang digunakan untuk mencegah jangkitan HIV kepada pasangan homoseksual.

Menurutnya, pengambilan atau pemberian ubat itu hanya diharuskan kepada pasangan suami isteri.

Dalam pada itu, Lukanisman juga menegaskan bahawa data daripada Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dalam AIDS (Ceria) menunjukkan bahawa menggunakan PrEP untuk mencegah penularan HIV telah membantu menjimatkan kos rawatan awam sebanyak RM47 juta antara 2006-2013.

Ini bagi menjawab soalan lain daripada Ahmad Yunus mengenai kesan projek perintis PrEP itu terhadap kewangan negara.

Dalam soalan susulannya, Ahmad Yunus turut mendakwa kerajaan tidak merujuk fatwa atau mendapatkan pandangan daripada beberapa pihak berkepentingan untuk program PrEP sebelum ia dilaksanakan pada Januari tahun ini.

Lukanisman menafikan perkara itu sambil berkata Jabatan Kesihatan Selangor mengadakan sesi libat urus bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada Jun 2022 diikuti satu lagi perbincangan antara Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) pada Disember tahun yang sama.

Pada 12 Dis tahun lalu, Kementerian Kesihatan akan melakukan projek rintis berkenaan penggunaan ubat PrEP di beberapa hospital bagi menilai keberkesanan dan keselamatannya dalam mengurangkan risiko penularan jangkitan HIV.

[Baca berita asal]