Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerangka M'sia Madani berdasarkan manifesto PRU15 - Armizan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PARLIMEN | Kerangka Malaysia Madani akan dibina berdasarkan analisis tematik manifesto setiap parti gabungan Kerajaan Perpaduan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali.

"Matlamat Malaysia Madani adalah menjadi sebuah negara bangsa Malaysia Madani yang tertegak berteraskan prinsip kelestarian, ihsan, hormat menghormati, berinovasi, kesejahteraan dan kepercayaan menuju Malaysia baru yang megah di persada dunia.

"Empat teras strategik Malaysia Madani adalah reformasi ekonomi dan infrastruktur rakyat, reformasi sosial dan keselamatan, reformasi institusi demokrasi dan perundangan serta reformasi perkhidmatan awam.

"Kerangka Malaysia Madani dijangka akan dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) sedikit masa lagi," kata Armizan (gambar, bawah) memberitahu Dewan Rakyat.

Menteri di JPM itu menjawab soalan bertulis oleh Radzi Jidin (PN - Putrajaya) yang bertanya jika kerajaan akan melaksanakan janji-janji dalam manifesto PH dan BN memandangkan kerajaan pada hari ini gabungan kedua-dua parti itu.

"Berapa implikasi kewangan kepada kerajaan untuk melaksanakan janji-janji tersebut," soal Radzi.

Tanpa menjawab secara khusus kos melaksanakan janji dalam manifesto, Armizan bagaimanapun menyatakan Belanjawan 2023 bernilai RM388.1 bilion.

Sekretariat kerajaan perpaduan mengiktiraf PH, BN, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan Warisan sebagai pengasas dan ahli utamanya.

Slogan Malaysia Madani dilancarkan oleh Anwar pada 19 Jan dan sekretariat itu membentuk "jawatankuasa pemantau agenda kerajaan dan politik" bersama pada 7 Feb.