Skip to main
Logo Malaysiakini

Rawatan ketagihan dadah: K'jaan digesa kaji guna ekstasi, cendawan 'magik'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC) mencadangkan kerajaan melakukan percubaan klinikal menggunakan dadah jenis 'psikedelik' bagi merawat ketagihan akibat penyalahgunaan dadah jenis opiod dan methamphetamine di kalangan rakyat Malaysia.

"Sudah tiba masanya Malaysia melalui agensi dan kementerian berkaitan untuk mula melihat keberkesanan kaedah rawatan moden ini agar kita lebih bersedia menghadapi perubahan rawatan dalam landskap rawatan dan pemulihan dadah di Malaysia.

"Alternatif rawatan dadah jenis psikedelik untuk percubaan klinikal di Malaysia dalam usaha menyediakan rawatan dan pemulihan penyalahgunaan dadah dan kesihatan mental yang terbaik boleh mula dibincangkan dan boleh dilaksanakan sekiranya sesuai.

"Penemuan terbaru dalam bidang penyalahgunaan dadah ini memberi satu lagi cabaran baru kepada penyedia rawatan dadah terutama kaunselor penagihan, ahli psikiatri, dan pegawai pemulihan dadah tentang bagaimana menggabungkan kesan farmakologi dadah psikedelik ini di dalam konsepsual kes dan rancangan rawatan pengguna dadah," kata Felo Penyelidik MASAC Dr Farhana Sabri pada satu kenyataan hari ini.

MASAC ditubuhkan pada 2014 merupakan gabungan 43 NGO, pusat pemulihan swasta dan penyedia perkhidmatan berkaitan penyalahgunaan bahan dari seluruh negara.

Psikedelik ialah sejenis bahan halusinogenik yang mempengaruhi semua deria, mengubah pemikiran, deria masa dan emosi seseorang.

MDMA yang sering disebut ekstasi telah dibangunkan oleh sebuah syarikat farmaseutikal Jerman pada tahun 1912.

Sementara itu, psilosibin pula merupakan kandungan kimia aktif dalam beberapa jenis cendawan yang sering dirujuk sebagai 'magic mushroom'.

Untuk rekod, MDMA yang sering disebut sebagai ekstasi dan psilosibin juga merupakan bahan terlarang di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Sementara itu, pesakit yang mengalami kemurungan dan trauma diberi amaran untuk tidak mengambil psilosibin atau MDMA sendiri.

Dalam pada itu, MASAC merujuk kajian di Amerika Syarikat dan Australia mengatakan bahan psikedelik itu berkesan dalam rawatan ketagihan, kemurungan dan trauma.

"Ini mungkin jawapan kepada intervensi psikoterapi apakah yang sesuai untuk pengguna dadah yang menerima rawatan MDMA dan psilocybin supaya kualiti hidup mereka dapat dipelihara," kata MASAC lagi.

Menurut MASAC, setiap tahun lebih dari empat ribu rakyat Malaysia dikesan mempunyai masalah penyalahgunaan dadah dari jenis heroin dan hampir separuh darinya mempunyai sejarah pengambilan dadah jenis methamphetamine.

"Keadaan ini juga berlaku di Amerika Syarikat, di mana terdapat tiga juta rakyat Amerika telah dikenal pasti mempunyai masalah penyalahgunaan dadah dari jenis heroin dan separuh daripadanya juga menyalahguna dadah jenis methamphetamine.

"Di Pusat Kajian Bahan Psikoaktif, Universiti Wisconsin – Madison School of Pharmacy menemukan penemuan terbaru tentang keberkesanan dadah jenis psilocybin dalam rawatan masalah kemurungan dan ketagihan alkohol," katanya.

Berdasarkan kajian tersebut, dadah jenis psikedelik dibuktikan boleh membantu pengguna dadah untuk mendapat kawalan diri dan meningkatkan celik akal sekaligus memperbaiki kualiti hidup.

"Manakala di Australia, kerajaan mereka sudah mula membenarkan penggunaan dadah Methylenedioxymethamphetaine (MDMA) dan psilocybin untuk merawat kemurungan dan masalah trauma.

"Ahli psikiatri di Australia dibenarkan membuat preskripsi dua bahan tersebut bermula Julai 2023 tahun ini," jelas MASAC.

Dadah psikedelik telah dikaji secara meluas untuk merawat pelbagai gangguan kesihatan mental, antaranya oleh institusi pengajian perubatan ternama Johns Hopkins University di Amerika Syarikat dan Imperial College London di United Kingdom.

Dadah psikedelik menjadi simbol gerakan budaya anak muda pada era 1960an dan diharamkan.

Dalam perkembangan terkini, pihak berkuasa di Kanada dan Amerika Syarikat antara negara yang telah membenarkan penggunaan perubatan MDMA dan psilocybin