Skip to main
Logo Malaysiakini

Penduduk PJ minta campur tangan menteri isu kedai keranda

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Persatuan Penduduk Seksyen 22 Petaling Jaya merayu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming campur tangan berhubung kedai keranda yang berada di kawasan perumahan mereka.

Pengerusinya, Parimala Nesamany berkata penduduk di kawasan itu berasa 'letih' selepas rayuan selama lima tahun kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) agar kedai itu dipindahkan ke kawasan komersial ditolak.

"Kami lebih 350 penduduk dari Seksyen 22 membantah keras ketika kedai keranda itu memohon MBPJ untuk membuka perniagaan di kawasan perumahan kami pada 2018. Namun, bantahan kami tidak diberi perhatian.

"Sejak itu, kami menulis rayuan kepada MBPJ setiap tahun agar kedai itu dipindah ke kawasan komersial. Jarak antara kedai itu ke kawasan perumahan hanya 20 kaki sahaja. Namun, rayuan kami terus ditolak.

"Penduduk berasa tidak selesa dengan perniagaan keranda di kawasan perumahan yang menjalankan perniagaan hampir 24 jam. Kami harap menteri KPKT dan Exco kerajaan negeri Selangor Ng Sze Han segera campur tangan," katanya kepada Malaysiakini.

Carian Malaysiakini mendapati sebanyak empat syarikat perkhidmatan pengebumian dan keranda beroperasi di kawasan Petaling Jaya (di bawah lesen MBPJ).

Selain tiga syarikat lain beroperasi di kawasan komersial atau kawasan kubur, kedai keranda Seksyen 22 merupakan satu-satunya premis terletak di kawasan perumahan.

"Setiap kali kami meminta penjelasan ahli majlis dan ahli politik mereka memberi pelbagai alasan. Antaranya, kawasan ini telah ditukar status sebagai kawasan komersial.

"Bagaimana, sebuah kawasan perumahan yang hanya mempunyai 13 unit rumah kedai boleh ditukar ke status kawasan komersial?" soalnya lagi.

"Kami telah pun menghubungi menteri KPKT dan YB Ng agar isu ini diselesaikan dengan segera. Kami tidak minta kedai itu ditutup. Permintaan kami cuma memindah perniagaannya ke kawasan komersial atau industri," katanya.