'Teruk terjejas ketika PKP, RM25j tak cukup untuk bina semula industri seni'
PARLIMEN | Peruntukan dalam Belanjawan 2023 untuk seni dan budaya tidak memadai, terutama selepas industri tersebut terjejas begitu teruk akibat penularan wabak Covid-19.
Perkara itu dibangkitkan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang mendakwa pada 2021, sebanyak 90 peratus penggiat seni di Malaysia menerima kesan negatif dan 77 peratus daripada mereka hilang sebahagian besar pendapatan.
Sebanyak lapan peratus tempat kegiatan seni telah tutup secara kekal, katanya lagi.
Ketika perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini, Syerleena membangkitkan peruntukan RM102 juta untuk geran kandungan digital bertujuan untuk membantu dan menggiatkan penghasilan lebih banyak karya kreatif.
Namun, dia menyifatkan pembahagian peruntukan itu sebagai tidak saksama.
"RM25 juta (diperuntukkan) untuk kegiatan seni dan budaya di peringkat komuniti, dan RM20 juta untuk program seni dan budaya di sekolah untuk menggalakkan penyatuan.
"Jadi, persoalannya, apakah kesannya jika peruntukan RM25 juta ini dikongsi untuk seluruh negara?" soalnya.
Untuk mencapai kemakmuran dan kelestarian dalam industri seni budaya, Syerleena berkata bantuan wang tunai tidak cukup, sebaliknya perlu ada program inovatif yang dapat memberdaya seniman dan pemain industri.
Katanya lagi, sebuah majlis dan dasar untuk kreatif industri yang khusus untuk bidang seni dan muzik perlu diwujudkan untuk menjaga kebajikan seniman.
Dia juga berkata kerajaan perlu memperkemas sistem perlesenan dan rangka kerja perundangan untuk industri seni yang dapat membantu seniman tempatan.
Syerleena menegaskan sektor seni dan budaya di Malaysia menyumbang kepada ekonomi negara, terutama berkaitan industri pelancongan.
Ada hubungan simbiotik antara pelancongan, seni dan budaya dan kerajaan perlu melihatnya sebagai aset untuk menambah baik ekonomi, katanya.
"Dengan memaparkan warisan kebudayaan negara, Malaysia dapat menarik pelancong dari seluruh dunia untuk belajar tentang sejarah, adat resam dan budaya kita.
"Ini akan dapat merangsang ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan," katanya, sambil menambah negara boleh menjadi hab muzik menerusi kewujudan sektor pelancongan muzik yang sedia ada.
Apabila selebriti antarabangsa berkunjung ke Malaysia, mereka juga akan menarik peminat mereka untuk berbuat perkara sama, katanya.
"Ini akan membantu hotel, inap desa dan restoran, seterusnya membantu ekonomi tempatan.
"Sama juga dengan penghibur tempatan kita - ke mana mereka pergi, peminat akan ikut," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai