Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri: Tiada keperluan isytihar darurat bencana di Johor setakat ini

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini memutuskan tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat bencana di Johor susulan banjir yang melanda negeri itu, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan perpaduan berkata perkara utama yang dibincangkan dalam mesyuarat itu adalah berhubung tindakan segera yang perlu diambil kerajaan persekutuan bagi membantu Johor.

“Pada waktu ini, pandangan jemaah menteri adalah ke arah apa yang boleh kita (kerajaan persekutuan) lakukan segera termasuk meneliti aset-aset kerajaan yang mampu kita gerakkan segera,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.

Dia berkata kerajaan persekutuan juga telah menyalurkan bantuan segera banjir berjumlah RM50 juta kepada Johor.

Jumlah mangsa di Johor setakat lapan pagi tadi dilaporkan sebanyak 33,149 orang yang dipindahkan ke 217 pusat pemindahan sementara (PPS).

Fahmi berkata mesyuarat jemaah menteri turut menumpukan perbincangan kepada usaha untuk membawa keluar mangsa yang terperangkap di kawasan yang teruk dilanda banjir iaitu dengan membina jambatan bailey.

“Ini untuk memastikan jaringan jalan yang putus akibat jambatan rosak dapat dihubungkan semula,” katanya yang berdoa agar bencana yang melanda Johor ketika ini pulih dalam masa terdekat.

Fahmi berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut meminta jemaah menteri untuk turun ke lokasi banjir bagi mewakili kementerian masing-masing dan mengenal pasti jenis bantuan atau keperluan yang boleh disalurkan kepada mangsa banjir.

Bagi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), dia berkata aspek rangkaian telekomunikasi adalah merupakan fokus utama kementerian bagi memastikan mangsa di kawasan terjejas banjir tidak terlalu lama berhadapan dengan masalah telekomunikasi.

Sehingga kini, dia telah mendapat laporan terdapat 90 menara telekomunikasi terjejas akibat banjir dan mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk segera memperbaiki kemudahan itu.

-Bernama