Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Peranan profesional perantara dalam skandal 1MDB

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN | Baru-baru ini kita dikhabarkan bahawa syarikat IPIC dan Aabar PJS dari Abu Dhabi bersetuju membayar AS$1.8 bilion (RM8.06 bilion) kepada Menteri Kewangan Diperbadankan dan 1MDB.

Ini merupakan antara penyelesaian yang dicapai selain persetujuan pembayaran AS$2.9 bilion oleh Goldman Sachs, RM2.83 bilion oleh AmBank, RM340.92 juta oleh KPMG dan RM324 juta oleh Deloitte.

Sehingga Julai 2022, kerajaan berjaya mendapatkan semula RM19.28 bilion dana 1MDB melalui hasil jualan atau aset.

Beberapa penyelesaian ini menunjukkan terdapat satu aktor penting yang terlibat dalam skandal 1MDB iaitu profesional perantara.

Mereka merupakan golongan profesional yang berperanan sebagai perantara memudahkan penggelapan dana yang terdiri daripada birokrat, pegawai korporat, ahli perbankan, perunding, peguam dan pakar penilai.

Melalui peranan profesional perantara itulah kira-kira AS$4.5 bilion daripada keseluruhan AS$6.5 bilion digelapkan oleh suspek utama skandal 1MDB iaitu Jho Low. Peranan profesional ini telah dibincangkan secara terperinci dalam pelbagai buku mengenai skandal tersebut.

Namun, terdapat satu lagi peranan profesional perantara yang kurang dibicarakan iaitu membersihkan kesalahan dan meningkatkan imej kleptokrat serta dalang utama.

Mereka itu terdiri daripada juruaudit, agensi perhubungan awam (PR), yayasan kebajikan dan peguam.

Penilaian tidak benar

Sejak penubuhannya pada 2009, 1MDB menggunakan khidmat beberapa juruaudit termasuklah Ernst & Young, KPMG dan Deloitte. Juruaudit pertama dipecat oleh 1MDB pada 2010 tanpa mengeluarkan laporan akaun.

Ia kemudian digantikan oleh KPMG. Meskipun mengeluarkan laporan akaun 1MDB bagi 2010, 2011 dan 2012, khidmat KPMG ditamatkan susulan perbezaan pendapat dengan pihak pengurusan berkenaan isu penilaian sesuatu pelaburan.

KPMG kemudian digantikan oleh Deloitte yang mengaudit akaun 1MDB bagi 2013 dan 2014. Namun, pengauditan yang dilakukan itu dipertikaikan susulan kegagalan firma terbabit mengenal pasti keherotan dalam transaksi yang meragukan dan palsu.

Deloitte gagal menemui keherotan bahawa 1MDB telah membayar lebih daripada AS$3.5 bilion - dari 2012 hingga 2014 - kepada syarikat palsu, Aabar Ltd (BVI). Deloitte juga tidak mencurigai pelaburan 1MDB bernilai AS$1.56 bilion dalam dana pelaburan yang kabur dan meragukan termasuklah Devonshire Growth, Enterprise Emerging Markets dan Cistenique Investment Funds.

Selain itu, Deloitte mempercayai AS$1.22 bilion berjaya dibawa pulang daripada pelaburan palsu 1MDB di Cayman Islands yang sebenarnya hanyalah pengulangan transaksi menggunakan wang dari subsidiari 1MDB.

Susulan pemfailan tuntutan perundangan oleh Jabatan Kehakiman AS, Deloitte tidak memperakui laporan akaun 1MDB bagi 2013 dan 2014 pada Ogos 2016.

Pada pertengahan 2018, KPMG pula mengeluarkan kenyataan bahawa akaun yang diaudit bagi 2010, 2011 dan 2012 adalah penilaian yang tidak benar dan tidak adil mengenai dana 1MDB. Alasan yang diberikan ialah KPMG tidak mendapat akses penuh kepada dokumen relevan yang hanya didedahkan selepas pertukaran kerajaan.

Ini menunjukkan bahawa juruaudit seperti Deloitte dan KPMG tidak menjalankan tugas mereka dengan profesional dan berintegriti, serta memainkan peranan seolah-olah membersihkan transaksi bagi projek 1MDB yang meragukan dan palsu.  

Berkhidmat untuk Trump

Selain itu, bagi membersihkan kesalahannya, Najib Razak turut menggunakan khidmat peguam terkemuka Muhammad Shafee Abdullah sebagai peguam bela utama bagi beberapa prosiding yang melibatkan SRC dan 1MDB.

Namun, Muhammad Shafee turut terbabit dalam skandal ini apabila dia berhadapan dengan dua pertuduhan penggubahan wang haram bernilai RM9.5 juta susulan pembayaran yang dibuat Najib bagi khidmatnya sebagai peguam bela.

Dia turut menghadapi dua pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang salah kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Bagi meningkatkan imejnya, kleptokrat dan dalang utama skandal 1MDB menggunakan khidmat agensi PR antarabangsa termasuklah Ashcroft Law Firm yang dikendalikan oleh bekas Peguam Negara AS John Ashcroft.

Dalam agensi itu ejen asing yang menguruskan kes Najib ialah Mark Corallo iaitu bekas jurucakap bagi pasukan perundangan peribadi Presiden Donald Trump dalam kes siasatan Rusia.

Agensi PR lain yang turut diupah ialah 45 Group iaitu badan yang dimulakan oleh bekas pembantu kempen Trump, Healy Baumgardner-Nardone. Ia digunakan untuk mengatur pertemuan di antara pegawai kerajaan AS dengan pegawai kerajaan Malaysia, serta menyokong pengukuhan hubungan Putrajaya-Rumah Putih.

Melalui khidmat yang ditawarkan, agensi terbabit menerima bayaran enam digit dari syarikat yang didaftarkan di BVI tetapi beralamat di Malaysia. Selain itu, khidmat Elliott Broidy - pengumpul dana bagi kempen Trump pada 2016 - turut digunakan bagi melobi Washington untuk menamatkan siasatan ke atas 1MDB.

Oleh sebab aktiviti pelobian Broidy bagi entiti asing itu tidak didaftarkan dengan Jabatan Kehakiman AS, dia berhadapan dengan hukuman penjara maksimum lima tahun, dan telah bersetuju untuk menyerahkan kembali dana bernilai AS$6.6 juta.

Seperti Najib, Jho Low juga telah berbelanja lebih AS$1.38 juta dalam kempen meningkatkan imejnya melalui dua agensi perundangan Kobre dan Kim, serta Schillings International.

Melalui Kobre dan Kim, wang pendahuluan berjumlah AS$50,000 dibayar kepada Levick Strategic Communications untuk menyediakan khidmat nasihat komunikasi strategik, pembelaan dan pelaksanaan penilaian terhadap siasatan-siasatan berprofil tinggi dan sedang berjalan.

Selain itu, Kobre dan Kim turut membayar beberapa agensi PR lain seperti Reevemark, PRCG Haggerty LLC, Marathon Strategies, FiveBlocks dan PHA Group.

Ada cabang kebajikan

Pada peringkat domestik, antara ejen PR yang diupah oleh Najib ialah Romen Bose iaitu bekas Presiden Foreign Correspondents Club of Malaysia. Khidmat Bose digunakan untuk menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang dan media berkenaan pembayaran berlebihan 1MDB untuk memperoleh dua penjana kuasa bebas (IPP).

Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada Jho Low, bekas pegawai khas Najib, dan pengurusan 1MDB, Bose menderaf jawapan untuk diberikan kepada CEO Kedua 1MDB Mohd Hazem Abd Rahman bagi menjawab soalan-soalan berkenaan perolehan dua IPP tersebut.

Perkhidmatan yang ditawarkan itu membolehkan Bose dibayar RM655,000 oleh Najib dengan menggunakan dana dari SRC.

Najib turut membayar RM2 juta kepada agensi komunikasi digital Orb Solutions Sdn Bhd bagi memperkukuh kehadiran kerajaan dalam media sosial susulan kemenangan BN dengan majoriti yang lebih kecil dalam PRU ke-13.

Agensi itu berperanan untuk menguruskan komunikasi peribadi Najib melalui atas talian – seperti laman web, media sosial dan pelbagai aktiviti lain dari atas talian ke luar talian yang dilakukan dari semasa ke semasa – terutamanya bagi menjelaskan dasar-dasar awam.

Selain daripada penggunaan khidmat juruaudit dan ejen PR, Najib turut memanfaatkan Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) untuk meningkatkan reputasinya.

Sebagai cabang kebajikan bagi 1MDB, YR1M tidak hanya menerima RM210 juta dari 1MDB tetapi juga RM230 juta dari Kumpulan Genting dan RM3 juta dari Petronas.

Aktiviti tanggungjawab sosial korporat YR1M itu menyasarkan projek kebajikan untuk bukan Muslim manakala Ihsan Perdana Sdn Bhd - rakan CSR bagi YR1M - melaksanakan projek kebajikan untuk Muslim.

Beberapa profesional perantara seperti juruaudit, peguam bela, ejen PR dan yayasan kebajikan telah digunakan untuk membersihkan kesalahan dan meningkatkan imej Najib dan Jho Low.

Bagi mengekang kegiatan profesional perantara yang tidak bertanggungjawab itu, antara langkah yang boleh diambil kerajaan ialah meningkatkan had denda maksimum bagi Seksyen 354 (3) (b) dan 276 (1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) bagi mengawal juruaudit.

Hal itu kerana denda yang dikenakan oleh Suruhanjaya Sekuriti ke atas Deloitte sangat kecil berbanding implikasi kegagalannya menjalankan tugas.

Pembiayaan yang diterima oleh institusi seperti yayasan kebajikan, badan pemikir dan institusi awam termasuklah universiti juga perlu mematuhi piawaian ketelusan yang serupa dengan Akta Pendaftaran Ejen Asing di AS.

Antara piawaian itu termasuklah mendedahkan segala pertemuan dan sumbangan yang diterima serta menerbitkan laporan due diligence atas talian dengan sumber yang disamarkan.

Selain itu, gabungan ahli akademik, wartawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu diperkasakan untuk menjalankan penyelidikan dan penyiasatan secara mendalam lagi inovatif ke atas skandal kleptokrasi dan penyelewengan, serta melaksanakan kempen menentang rasuah.

Antara inisiatif yang wajar dipuji termasuklah enam tuntutan politik Malaysia Tanpa Rasuah yang diusahakan oleh Rasuah Busters bersama lebih 400 gabungan dengan enam rakan strategik.  

Tuntasnya, peranan profesional perantara tidak hanya penting dalam menyumbang kepada perkembangan sistem kapitalisme tetapi juga bertanggungjawab terhadap kejatuhannya seperti yang berlaku dalam krisis kewangan global pada 2008.

Dalam skandal 1MDB, profesional perantara itu tidak hanya membantu menggelapkan dana tetapi juga menolong membersihkan kesalahan dan meningkatkan imej kleptokrat.

Justeru negara memerlukan satu set undang-undang dan peraturan tadbir urus yang utuh bagi mengelakkan pemimpin korup mengaburi kejahatan masing-masing melalui kaedah peningkatan imej/reputasi agar kekal berkuasa.


ZAHARUL ABDULLAH ialah pensyarah pengajian polisi di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.