Skip to main
Logo Malaysiakini

Sikap pandang ringan Covid-19 kini berbahaya, kata doktor

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kelemahan pengawasan mengenai situasi Covid-19 di seluruh dunia menjadikan orang ramai tidak mendapat gambaran menyeluruh yang tepat mengenai bahaya berterusan daripada pandemik itu.

Situasi itu, kata ahli Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Balachandran S Krishnan, menyebabkan masyarakat tidak berwaspada secukupnya dan ramai antara mereka kini menganggap Covid-19 adalah sekadar selesema biasa.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bimbang apabila banyak negara mengambil sikap sambil lewa seolah-olah Covid-19 sudah tiada, tidak lagi mengambil langkah pengawasan dan tidak ada lagi penjujukan genomik yang penting untuk mengenal pasti variasi baru.

"Kami bimbang terhadap kemunculan variasi baru yang tidak diketahui (dengan kekurangan pengawasan). Sama ada ia akan lebih buruk daripada Delta atau lebih baik, kita tidak tahu.

"Orang ramai mengambil ringan Covid-19 sekarang dengan menyangka ia sekadar gejala seperti selesema dan (penyakit) lain," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini.

Balachandran juga menegaskan WHO masih menganggap Covid-19 sebagai kecemasan kesihatan awam yang dibimbangi di peringkat antarabangsa.

Justeru dia menggesa rakyat Malaysia agar terus berjaga-jaga terhadap bahaya pandemik berkenaan dan menyarankan orang ramai agar mendapatkan vaksin, terutamanya dos penggalak, selain terus membuat ujian kendiri.

Orang ramai juga disaran segera mendapatkan rawatan awal jika dijangkiti virus berkenaan.

Balachandran merujuk kepada dapatan data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS antara 4 Apr 2021 hingga 3 Sep 2022 yang menunjukkan kadar kematian Covid-19 adalah lebih tinggi dalam kalangan individu tidak divaksin berbanding yang mempunyai sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Itu menunjukkan vaksin berfungsi. Lebih baik anda dapatkan perlindungan vaksin kerana sekali dijangkiti, anda mungkin sudah terlambat kerana kematian (akibat Covid-19) masih tinggi.

"Ada kit ujian kendiri. Orang melakukan ujian kendiri tetapi mereka tidak melaporkannya (jika dijangkiti Covid-19)..

"Apabila mereka tidak membuat laporan dan tidak mendapatkan rawatan awal, varian Omicron pada orang yang mempunyai komorbiditi boleh menyebabkan mereka dimasukkan ke hospital, ke unit rawatan rapi dan mungkin mati," katanya.

Justeru Balachandran meminta oran ramai mendapatkan dos penggalak, melakukan ujian kendiri jika mempunyai sebarang simptom, dan mendapatkan rawatan dalam tempoh lima hari dari detik permulaan simptom dikesan.

"Saya percaya jika orang mengambil langkah yang betul, dapatkan rawatan yang tepat, saya rasa mereka boleh mengatasinya - jika tidak pun 100 peratus sekurang-kurangnya ia 99 peratus," katanya.

[Baca berita penuh]