Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersih puji 100 hari k'jaan, gesa lebih banyak reformasi institusi

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bersih menyatakan penghargaan terhadap kerajaan perpaduan atas beberapa pembaharuan institusi yang dilakukan dalam 100 hari pertamanya sambil menggesa lebih banyak lagi dilakukan selaras dengan janji yang dibuat oleh gabungan parti masing-masing.

“Kami mengucapkan tahniah kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul dan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman di atas inisiatif dan langkah yang diambil berikut berkaitan berkaitan parlimen dan Jabatan Peguam Negara," kata jawatankuasa pemandu badan pemantau pilihan raya itu dalam satu kenyataan hari ini.

Reformasi institusi yang dilakukan kerajaan perpaduan hari ini adalah seperti sesi soalan perdana menteri di Dewan Rakyat, peningkatan bilangan usul daripada dua kepada empat di dalam Kamar Khas, permulaan perbincangan antara menteri undang-undang dan peguam cara negara berkaitan pemisahan pejabat pendakwa raya daripada Jabatan Peguam Negara serta penubuhan suruhanjaya undang-undang yang bebas.

Bagaimanapun, dalam kenyataan yang sama Bersih turut menyatakan kekesalannya apabila kerajaan melepaskan beberapa peluang untuk melaksanakan reformasi yang mudah.

Bersih menyorot keputusan kerajaan tidak meneruskan peruntukan pembangunan kawasan kepada ahli parlimen pembangkang, meskipun dijanjikan dalam kedua-dua manifesto Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

"Tidak ada pemantauan parlimen dan telus dalam pelantikan pegawai awam utama termasuklah peguam negara, ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

"Tidak ada pembentangan RUU Pindaan Perlembagaan bagi menghadkan penggal perdana menteri kepada 10 tahun, yang merupakan kandungan MOU antara kerajaan Ismail Sabri dan PH yang belum terlaksana," tegas Bersih.

Tambah Bersih, pembentangan Rang Undang-undang Pembiayaan Politik juga tiada, walaupun perkara ini telah diusahakan oleh empat kerajaan yang berturut-turut serta Rang Undang-undang Perkhidmatan Parlimen.

“Tiada pemansuhan atau penyemakan semula oleh jawatankuasa parlimen bagi Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, Akta Cetakan dan Penerbitan 1984, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012," ujar Bersih.

Menurut Bersih, pihaknya juga kesal atas kelewatan pembentukan Jawatankuasa Parlimen selepas lebih daripada dua bulan Parlimen ke- 15 mengangkat sumpah.

Justeru, Bersih menggesa kerajaan dan Dewan Rakyat mengambil ikhtiar untuk melaksanakan tiga reformasi dalam 100 hari akan datang.

"Kami menggesa kerajaan dan parlimen mengambil ikhtiar untuk melaksanakan tiga reformasi dalam 100 hari akan datang, yang mungkin memerlukan sidang Dewan Rakyat dipanjangkan daripada yang sedang dijadualkan sekarang," katanya.

Jelas Bersih, pembaharuan ini termasuk pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) dan Jawatankuasa Tetap Parlimen (JTP) termasuklah satu jawatankuasa untuk pilihan raya dan demokrasi berbilang parti; akta parlimen untuk memperuntukkan peruntukan pembangunan kawasan yang saksama kepada semua ahli parlimen; pengiktirafan dan pemerkasaan Kabinet Bayangan Perikatan Nasional (PN) dengan elaun kepada pegawai penyelidik dan akses maklumat.

"Bersih juga akan terus berbincang dengan kerajaan, parlimen dan pihak berkepentingan yang lain untuk mendesak reformasi yang dijanjikan, serta akan terus memantau dan menyemak imbang perkembangan kemajuannya," kata kumpulan itu.

Selain itu, Bersih juga menggesa kerajaan dan parlimen untuk mengambil ikhtiar melaksanakan tujuh reformasi dalam masa setahun khususnya sebelum 24 November 2023.

1. Penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen.

2. Penggubalan Akta Pembiayaan Politik.

3. Pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya.

4. Pindaan Perlembagaan bagi menghadkan tempoh pemegangan jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

5. Pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

6. Pemantauan parlimen dan ketelusan dalam pelantikan pegawai awam utama.

7. Semakan semula oleh jawatankuasa parlimen terhadap Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, Akta Cetakan dan Penerbitan 1984, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.