Skip to main
Logo Malaysiakini

M’sia dijangka tak alami kegawatan ekonomi tahun ini - Ahmad Maslan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Malaysia dijangka tidak akan mengalami kegawatan ekonomi pada tahun ini, kata Timbalan Menteri Kewangan I Ahmad Maslan.

Menurutnya, jangkaan ini berdasarkan prestasi pertumbuhan ekonomi negara yang dijangka berkembang sekitar 4.5 peratus pada tahun ini.

“Malah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia turut mengunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia 2023 pada kadar 4.4 peratus dan 4 peratus. Jangkaan ini adalah selari dengan unjuran pertumbuhan ekonomi dan perdagangan global yang diunjurkan dengan lebih perlahan pada tahun ini.

“Berdasarkan statistik ini, meskipun berdepan dengan cabaran ketidaktentuan global, saya ingin menegaskan bahawa Malaysia, Insya-Allah tidak akan mengalami kagawatan ekonomi pada 2023.

“Hal ini berdasarkan ketakrifan kegawatan atau kemelesetan ekonomi secara teknikal adalah apabila sesebuah negara mengalami penguncupan ekonomi iaitu pertumbuhan negatif suku tahunan sebanyak dua kali berturut-turut,” katanya dalam sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan pelan kerajaan dalam menghadapi kegawatan ekonomi yang dijangka berlaku tahun ini.

Pada masa sama, dalam soalan tambahan Idris, ahli parlimen PAS itu bertanya sama ada kadar dasar semalaman (OPR) yang kini 2.75 peratus akan dinaikkan pada masa akan datang.

Ahmad tidak menjawab soalan tersebut secara langsung dan berkata bahawa kenaikan kadar OPR telah berjaya mengekang kadar inflasi negara.

“OPR ini telah diturunkan sebelum ini ketika Covid-19 kepada 1.75… antara puncanya ialah untuk bantu rakyat, kemudian OPR telah dinaikkan secara berperingkat sekarang (yang) nilainya 2.75.

“Separuh daripadanya melibatkan mereka yang dikenakan faedah secara tetap dan separuh melibatkan mereka yang dikenakan faedah yang terapung, yang jadi masalah ialah mereka yang dikenakan faedah secara terapung ini, (di mana) mereka ada bebanan dengan kenaikan OPR itu.

“… adakah OPR akan dinaikkan pada masa akan datang, kita tunggu. Yang penting, dengan kadar kenaikan OPR daripada 1.75 ke 2.75, itu telah berjaya mengekang kadar inflasi (dan) dijangka kadar inflasi pada tahun ni ialah 3.3 peratus, lebih rendah daripada sebelum ini,” katanya.