Skip to main
Logo Malaysiakini

Lans koperal tembak isteri pernah solat, nangis di tepi jalan - Ibu mertua

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Anggota polis yang menembak isterinya hingga maut pernah solat di tepi lebuh raya dan memandu tanpa hala tuju sehingga kereta kehabisan minyak dipercayai kerana mengalami kemurungan.

Ibu mentuanya, Che Mas Taha, 63, dipetik Sinar Harian berkata menantunya itu dipercayai mengalami masalah kemurungan sejak beberapa tahun lalu dan pernah diserang kemurungan ketika sambutan Hari Raya Aidiladha yang lalu.

"Masa tu anak makcik (Safsufarnisya Salleh, 26) terpaksa minta bantuan rakan sekerja untuk cari suami dia.

"Menantu masa tu dikatakan sembahyang tepi lebuh raya sambil menangis tanpa sebab," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bendang Baru Simpang Empat, Kangar, hari ini.

Semalam, wanita yang berusia 26 tahun itu maut ditembak suaminya seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dalam kejadian di Kampung Bendang Baru Simpang Empat.

Mayat wanita itu kemudian ditemui dalam salah sebuah bilik di rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, polis menerima laporan berkaitan kejadian pada jam 7.26 pagi.

Polis menahan reman suspek selama tujuh hari sehingga 12 Mac ini, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Mangsa hamil lima bulan

Suspek, 27, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis disyaki membunuh mangsa, Safsufarnisya Salleh, 26, yang juga seorang suri rumah.

Mangsa dilaporkan ditembak dengan lebih daripada lima das tembakan, menggunakan pistol Walter P99 dari jarak dekat, dan ia mengenai bahagian muka di mata kirinya.

Jenazah mangsa Safsufarnisya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Simpang Empat setelah selesai urusan bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Mengulas lanjut, Che Mas berkata menantunya itu tidak mempunyai masalah dan merupakan seorang yang sangat rapat serta ringan tulang.

"Lepas berkahwin mereka terus berpindah tinggal dengan makcik dan suami (Salleh Ezan, 61) memandangkan suami pun tidak sihat kerana menghidap kanser usus tahap empat.

"Jadi setiap kali pemeriksaan di hospital, sampai ke Alor Setar pun memang dia la yang bawa kami, sebab anak-anak lain duduk jauh," katanya.

Ibu kepada empat cahaya mata ini menambah, mangsa merupakan seorang suri rumah dan hubungannya dengan suspek baik malah tiada pertengkaran berlaku.

"Anak sedang hamil lima bulan, setiap kali pemeriksaan perut suami dia yang akan bawa, mereka tidak ada masalah dan nampak bahagia saja sejak berkahwin dua tahun lalu.

"Tapi mungkin ini ujian untuk kami sekeluarga, makcik reda cuma berdoa semoga makcik kuat hadapi dugaan ini," katanya.