Skip to main
Logo Malaysiakini

Umno dikecuali dibatal pendaftaran: Saifuddin digesa perjelas keputusan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kumpulan antirasuah bimbang terhadap tindakan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan Umno daripada dibatalkan pendaftarannya di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Presiden TI-M Muhammad Mohan berkata jika ROS mendapati usul "tidak mempertandingkan" jawatan utama Umno bertentangan dengan perlembagaan parti itu, maka menteri berkenaan harus "memberi justifikasi alasannya untuk memberikan pengecualian tersebut."

“Apabila ia digunakan, perlu ada penjelasan yang jelas tentang sebab-sebab untuk melaksanakan budi bicara.

"Kegagalan berbuat demikian boleh membawa kepada andaian bahawa ia boleh dilakukan atas sebab politik semata-mata," kata Muhammad (gambar, bawah).

Selanjutnya, presiden TI-M berkata angkah itu bertentangan dengan prinsip ketelusan dan integriti yang telah diperakui berulang kali oleh kerajaan.

Dia mencadangkan satu tindakan alternatif dengan Umno boleh menerima pakai langkah pembetulan yang disyorkan oleh ROS untuk mematuhi perlembagaan parti.

Awal hari ini, menteri dalam negeri menggunakan kuasanya untuk mengecualikan Umno daripada dibatalkan pendaftarannya.

Ia berhubung usul tambahan yang diluluskan dalam Perhimpunan Agung Umno 2022 berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno yang tidak dipertandingkan pada pemilihan parti.

Saifuddin berkata keputusan itu dibuat pada 3 Mac 2023 setelah meneliti ketetapan yang dibuat oleh perhimpunan itu daripada setiausaha Agung Umno.

Saifuddin berkata keputusan itu dibuat pada 3 Mac 2023 setelah meneliti ketetapan yang dibuat oleh perhimpunan itu daripada setiausaha Agung Umno.

Sementara itu, Pengerusi Bersih Thomas Fann (gambar, bawah) pula menggesa pindaan dibuat kepada Akta Pertubuhan untuk menghapuskan sebarang kuasa yang diberikan kepada menteri.

“ROS telah lama dilihat sebagai alat politik kerajaan dan kenyataan menteri dalam negeri mengesahkan fakta ini.

"Kami menyeru pindaan terhadap Akta Pertubuhan untuk menghapuskan sebarang kuasa budi bicara yang diberikan kepada menteri (supaya) ROS dapat bertindak secara bebas dan profesional apabila menangani urusan berkaitan pendaftaran dan pengendalian parti politik," kata Fann pada satu kenyataan hari ini.

Seksyen 13 berkaitan pembatalan sesebuah pertubuhan.

Saifuddin berkata Kementerian Dalam Negeri memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 kepada Umno.

Menurut seksyen 70 akta itu, menteri boleh menggunakan budi bicara bagi mengecualikan sesebuah pertubuhan daripada mana-mana peruntukan bawahnya.

Dua hari lepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya akan menerbitkan surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang meluluskan usul tambahan parti itu agar dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan pada pemilihan tahun ini.

Terdahulu, Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob menggesa Zahid mendedahkan surat itu kerana menurutnya terdapat laporan media yang bercanggah.

Pada 20 Jan lalu, dua anggota Umno memfailkan notis bantahan kepada ROS berhubung ketetapan untuk tidak mempertandingkan dua jawatan itu yang didakwa tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan parti.

Pemilihan Umno akan bermula hujung bulan ini bermula dengan pemilihan calon-calon bagi jawatan dalam sayap-sayap parti.

[Baca berita asal]