Skip to main
Logo Malaysiakini

MP Jelutong gesa Hadi disiasat isu kenyataan 'jatuhkan kerajaan'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang ahli parlimen DAP hari ini menggesa siasatan terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya yang didakwa mengaku cuba untuk menjatuhkan kerajaan.

RSN Rayer (Pakatan Harapan-Jelutong) dalam perbahasan Belanjawan 2023 menggesa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menyiasat kenyataan Hadi yang menurutnya kesalahan kanun keseksaan di bawah aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Setelah melalui beberapa siri pergolakan politik yang membawa kepada pilihan raya umum lalu, Rayer berkata kerajaan sekarang dibentuk selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong untuk kestabilan politik.

“Tetapi hari ini Marang (Hadi) kata pihak lain (pembangkang) sedang merancang untuk menjatuhkan kerajaan.

"Saya menggesa menteri dalam negeri menyiasat kerana ini bertentangan dengan Seksyen 124(B) Kanun Keseksaan," kata ahli parlimen DAP itu.

Rayer juga menegaskan bahawa beberapa laporan polis akan dibuat terhadap DAP jika parti itu membuat kenyataan sedemikian semasa menjadi sebahagian daripada pembangkang.

Tampil membela Hadi, Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) memetik aturan mesyuarat terhadap Rayer bahawa tiada ahli boleh membangkitkan sangkaan jahat terhadap mana-mana anggota dewan."

"Kamu kata 'Marang rancang'...ini mengaitkan sangkaan jahat. Marang hanya membuat kenyataan politik dengan melihat perkembangan terkini, dia tidak merancang (apa-apa)," kata Misbahul Munir.

Jerit menjerit tercetus selepas Rayer memetik kenyataan Hadi yang dilaporkan berkata bahawa adalah perkara biasa untuk berlaku pertukaran kerajaan, dan pembangkang mempunyai "hak untuk merancang" menjatuhkan kerajaan.

Mikrofon ahli Parlimen kemudiannya dimatikan tetapi kedengaran suara menuntut bukti bahawa Abdul Hadi telah merancang untuk menjatuhkan kerajaan.

Misbahul Munir turut menuduh media memutar-belit kenyataan Hadi yang dibuat di Parlimen semalam.

Timbalan Speaker Alice Lau yang mempengerusikan sidang itu menyeru supaya ahli parlimen bertenang dan memutuskan Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) sebagai pendebat seterusnya.