Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerajaan akan perkenal RUU penubuhan Ombudsman

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Putrajaya akan memperkenalkan rang undang-undang untuk mewujudkan agensi Ombudsman Malaysia untuk menangani aduan mengenai perkhidmatan awam dan kerajaan.

Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said berkata kerajaan bercadang untuk memberikan Ombudsman Malaysia kuasa penyiasatan dan memerlukan agensi baru itu melaporkan kepada Parlimen setiap tahun.

Dia berkata kerajaan akan mengkaji undang-undang serupa di UK, New Zealand, Sweden, Australia, Hong Kong, Filipina, Thailand, Gambia dan Namibia.

"Penubuhan Ombudsman yang berfungsi dan berkuasa adalah amat penting bagi memastikan pentadbiran awam cekap dan berkesan serta tadbir urus yang lebih baik dalam perkhidmatan awam," katanya.

Azalina berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Abdul Hadi Awang (PN - Marang) yang bertanya sama ada kerajaan akan menubuhkan ombudsman bagi menangani masalah salah laku dalam kalangan ahli politik dan penjawat awam termasuk pihak berkuasa.

Dia menjelaskan pada masa ini, Biro Pengaduan Awam merupakan mekanisme utama yang digunakan untuk mengendalikan aduan perkhidmatan awam.

Bagaimanapun, biro itu tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menjalankan penyiasatan dan juga tidak boleh memaksa pihak kerajaan lain untuk mematuhi syornya.

Setiap pentadbiran sejak 2019 telah berjanji untuk menubuhkan ombudsman. Pentadbiran Dr Mahathir Mohamad telah merancang untuk menubuhkan ombudsman pada suku pertama 2020.

Semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin, menteri undang-undang ketika itu Takiyuddin Hassan mendakwa pada Nov 2020 bahawa draf rang undang-undang ombudsman sedang diteliti oleh pejabat peguam negara.

Di bawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob pula, parlimen dimaklumkan pada Sep 2021 bahawa rang undang-undang itu akan dibentangkan selewatnya 2022.