Skip to main
Logo Malaysiakini

Surat ROS: Hari ini Zahid selamat, Saifuddin jawab esok

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak memberikan sebarang maklum balas ketika ditanya mengenai surat tular yang didakwa milik Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

"Hari ini, saya selamat", katanya ringkas seperti dipetik Astro Awani pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama Kerajaan Sarawak di Kuching, hari ini.

Ini selepas Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan, Amar Douglas Uggah Embas dilaporkan berkata sidang media itu cuma memfokuskan mengenai kemajuan desa dan wilayah sahaja.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail akan menjawab isu mengenai surat ROS berkenaan di parlimen, esok.

"Saya tahu ramai media yang ingin dapatkan penjelasan lanjut berhubung kait dengan peruntukan Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 sebagaimana kenyataan media saya pagi tadi.

"Tapi saya juga perlu hormati pertanyaan yang dikemukakan beberapa Ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini.

"Maka saya akan ambil ruang esok untuk menjawab hal berbangkit dalam perkara ini di Dewan Rakyat, Insya-Allah," katanya pada hantaran di Facebook hari ini.

Menurut seksyen 70 Akta Pertubuhan, menteri dalam negeri boleh menggunakan budi bicara bagi mengecualikan sesebuah pertubuhan daripada mana-mana peruntukan bawahnya.

Awal hari ini, menteri dalam negeri memaklumkan dia menggunakan kuasanya untuk mengecualikan Umno daripada dibatalkan pendaftarannya.

Ia berhubung usul tambahan yang diluluskan dalam Perhimpunan Agung Umno 2022 berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno yang tidak dipertandingkan pada pemilihan parti.

Saifuddin berkata keputusan itu dibuat pada 3 Mac 2023 setelah meneliti ketetapan yang dibuat oleh perhimpunan itu daripada setiausaha Agung Umno.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menggesa Saifuddin menjelaskan dakwaan pertentangan antara keputusannya untuk mengecualikan Umno daripada dibatalkan pendaftarannya dan sepucuk surat yang didakwa daripada ROS kepada Umno.

Takiyuddin yang juga ahli parlimen Kota Bharu berkata dia melihat surat yang didakwa dari ROS kepada Umno itu, menyatakan usul tambahan Umno yang diluluskan dalam perhimpunan agung tahun lalu agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan, adalah tidak teratur dan bertentangan dengan perlembagaan parti itu.

"Saya tak tahu surat ini tulen atau tidak, tetapi ia bercanggah dengan kenyataan akhbar menteri,” katanya.