PH lapor polis dakwa Hadi sanggah titah sultan Terengganu
Pakatan Harapan (PH) Terengganu mahu pihak polis segera menyiasat kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang didakwa menyanggah titah Sultan Terengganu melarang ahli politik menyampaikan ceramah dan kuliah di masjid serta surau di negeri itu.
Menurut pengerusinya, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, ahli Parlimen Marang itu sepatutnya akur dengan arahan Majlis Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam).
"Sejurus selepas Maidam mengeluarkan arahan itu, Hadi dengan angkuh telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau akan meneruskan kuliah di masjid seperti biasa.
"Kenyataan itu jelas menyanggah titah sultan yang mahu institusi masjid dan surau dipelihara kesuciannya daripada sebarang dakyah politik," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Kuala Terengganu, hari ini.
Pada 2 Mac lalu, Maidam mengeluarkan kenyataan melarang semua pemimpin dan aktivis politik menggunakan masjid serta surau bagi menyampaikan ceramah atau mengadakan sebarang aktiviti berunsur politik kepartian.
Yang Dipertuanya, Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, larangan itu dibuat setelah mendapat perkenan daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Dua hari kemudian, mengulas larangan berkenaan, presiden PAS itu berkata, bukan menjadi satu kesalahan untuk ahli politik berbuat demikian.
Sebaliknya, menurut Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu adalah menjadi satu kewajipan untuk pemimpin bercakap mengenai politik Islam.
Malah, katanya “Nabi SAW pun cakap politik dalam khutbah.”
Menguls lanjut, Raja Bahrin berkata, kenyataan Hadi juga dilihat boleh menggugat ketenteraman kerana dikeluarkan oleh seorang individu yang berpengaruh dan pernah menjawat jawatan menteri besar Terengganu dari 1999 hingga 2004.
“Kita amat dukacita kerana beliau (Hadi) bukan orang biasa. Beliau amat tahu dan arif.
“Sepatutnya beliau mengambil kira protokol dan adat resam negeri Terengganu," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai