Skip to main
Logo Malaysiakini

Dr M bangkitkan 'tiada bukti nyata' MH370 terhempas di mana-mana

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad membangkitkan yang "tiada bukti nyata" untuk menunjukkan pesawat Malaysia Airlines MH370 terhempas di laut mahupun di darat.

Hari ini genap sembilan tahun pesawat tersebut hilang tanpa kesan dan dalam mengenang kembali tragedi itu, Dr Mahathir berkata nasib 227 penumpang dan 12 anak kapal masih tidak diketahui.

"...Sejak itu kita tidak menemukan sebarang bukti berkenaan apa yang berlaku kepada pesawat. Mungkin ada cakap-cakap bahawa ia terhempas di laut.

"Tapi tiada bukti nyata untuk menunjukkan ia terhempas di laut. Kita juga tiada sebarang bukti yang ia mendarat di mana-mana atau terhempas di darat. Jadi, ini begitu mengganggu ahli keluarga (mangsa) kerana untuk mengetahui tentang apa yang berlaku kepada mereka adalah satu kelegaan," katanya di Twitter.

Walaupun mengharapkan misi pencarian akan diteruskan, Mahathir berkata ahli keluarga mangsa perlu menerima kenyataan pahit tersebut.

"Kita perlu bersabar. Kita perlu menerima ia telah berlaku. Kita tidak mahu ia berlaku tetapi ia berlaku dan kita perlu terima pesawat ini telah hilang, bersama-sama penumpang dan anak kapal.

"Namun jika kita tak dapat temui pesawat pada tahun-tahun mendatang, kita perlu terima...pesawat telah hilang dan kita telah kehilangan ahli keluarga yang terbang bersamanya. Ini adalah sesuatu yang kita perlu terima, walaupun ia sukar," katanya lagi.

Mengulas lanjut dengan nada konspirasi, dia berkata: "Kemungkinan besar mereka sudah tiada kerana apabila pesawat dirampas pihak lain dan diterbangkan ke destinasi lain, nasib penumpang pastinya sama dengan nasib pesawat.

"Apa yang berlaku kepada pesawat, turut berlaku kepada penumpang," katanya lagi.

Dua bulan selepas kehilangan MH370, Mahathir pernah mendakwa Agensi Risikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat mungkin menyembunyikan maklumat berkenaan insiden itu.

Pada 2018 pula, bekas perdana menteri itu membangkitkan salah satu teori konspirasi berkenaannya, dengan berkata MH370 diambil alih dari jarak jauh dalam percubaan untuk menggagalkan rampasan pesawat itu.

[Baca berita asal]