PH, mahasiswa tuntut garis masa jelas langkah mansuh Auku
Sekumpulan pemimpin pelajar dan wakil rakyat PH hari ini menggesa kerajaan untuk memulakan sesi perbincangan mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).
Ia dibuat selepas Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan pada masa ini tidak bercadang untuk memansuhkan Auku, namun akan sentiasa melibatkan pihak berkepentingan untuk menambah baik undang-undang tersebut.
Dalam sidang media di parlimen petang tadi, Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing menyeru menteri terbabit menetapkan tempoh masa yang jelas untuk menunjukkan bagaimana kerajaan akan mengendalikan Auku.
"Kita tidak boleh mengatakan akan ada penglibatan dan perancangan dalam hal ini saja. Kita mesti melibatkan pihak berkepentingan, termasuk mahasiswa dan ahli akademik di kampus.
“Oleh itu, sangat penting untuk menetapkan tempoh masa yang jelas mengenai perkara ini,” katanya.
Menganggap dirinya sebagai bekas "mangsa" Auku semasa zaman universiti, Tan menegaskan tujuan asal undang-undang tersebut adalah untuk menindas pelajar dan autonomi kampus.
Justeru katanya Auku harus dimansuhkan - bukan hanya dipinda - bagi membuka jalan kepada undang-undang baru yang lebih progresif.
Memansuhkan Auku adalah salah satu janji dalam manifesto PH pada PRU lalu.
Bagaimanapun, kerajaan ketika ini merupakan gabungan merangkumi BN yang pernah mempertahankan Auku sebelum ini.
Auku memberi kuasa yang luas kepada menteri, termasuk membabitkan pelantikan jawatan penting seperti naib canselor.
Pengkritik berpendapat ia membolehkan seseorang yang tidak memiliki merit dilantik sebagai naib canselor dan menjejaskan autonomi universiti.
Bulan lalu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata dia telah menjadualkan pertemuan dengan Mohamed Khaled untuk membincangkan isu berkenaan.
Bagaimanapun, pertemuan itu tidak berlaku.
Tuntut diberi keadilan
Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii pula berkata, dia telah menghubungi pejabat Mohamed Khaled untuk mengadakan mesyuarat berhubung isu berkenaan yang akan turut disertai Adam Adli sebaik mendapat kebenaran menteri.
“Kami optimis kerajaan akan menyokong tuntutan untuk memperkasakan pelajar.
“Kami juga bersolidariti dengan tuntutan pelajar dan berharap dapat undang-undang ini dapat diperbaharui," tambahnya.
Selain Tan dan Yii, Ahli Parlimen PH yang turut bersuara menyokong usaha memansuhkan menteri termasuklah Chow Yu Hui (Raub), Tan Hong Pin (Bakri), Young Syefura Othman (Bentong), Chow Choon Man (Miri), Taufiq Johari (Sungai Petani).
Terdahulu, Timbalan Setiausaha Agung Kesatuan Pelajar Universiti Malaya (UMSU) Dhurgesswaran Veeran mewakili 12 kumpulan pelajar menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pengajian Tinggi menuntut pemansuhan Auku.
Bercakap pada sidang media, Dhurgesswaran menyenaraikan empat tuntutan mereka termasuk agar kerajaan memulihkan jawatankuasa teknikal Auku secepat mungkin, dan kuasa menteri melantik naib canselor serta lembaga pengarah universiti digantikan dengan proses yang lebih telus.
Dia juga mahukan kebebasan bersuara dan kebebasan akademik yang lebih luas, serta pelajar diperkasakan dengan autonomi kewangan kampus.
Sementara itu, Adun Tanah Rata Ho Chi Yang berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan Adam Adli juga pernah menjadi aktivis pelajar.
Walaupun sudah menjadi kerajaan, katanya, PH masih gagal memenuhi harapan yang disandarkan pelajar kepada mereka.
“Keadilan mesti dikembalikan kepada semua pelajar yang ditindas oleh Auku,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai