Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahid: Umno akan usaha jadi sebahagian kerajaan S'gor lepas PRN

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Umno akan berusaha untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan Selangor, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan beberapa bulan lagi.

Pengerusi BN yang juga timbalan perdana menteri itu merujuk kepada pembentukan kerajaan negeri bersama PH yang telah mentadbir Selangor sejak 2008.

"Kita akan berusaha agar Umno dan BN Selangor menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri yang akan terbentuk selepas PRN, Insya-Allah.

"Mungkin itulah sebabnya ramai yang menawarkan diri (bertanding dalam pemilihan Umno)," katanya pada sesi memperkenalkan calon-calon pemilihan Umno di Shah Alam, Selangor malam ini.

Dia berkata Umno Selangor mencatatkan penyertaan tertinggi bagi merebut jawatan dalam pemilihan parti yang akan diadakan bulan ini.

"Kemeriahan pemilihan ini saya harap tidak akan menenggelamkan kemeriahan PRN negeri yang akan diadakan nanti," katanya lagi.

Selepas bersama-sama dengan PH menubuhkan kerajaan persekutuan, BN kini hampir pasti akan menyertai PRN di enam negeri - iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu - bersama-sama gabungan itu.

Pada 26 Feb lalu, Pengarah Komunikasi PH Fahmi Fadzil berkata rundingan pembahagian kerusi menjelang PRN antara PH, BN dan parti lain dalam kerajaan akan diumum sebelum hujung bulan ini.

Katanya, rundingan berjalan lancar di setiap negeri hasilnya akan dibawa ke Sekretariat Kerajaan Perpaduan untuk dimuktamadkan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berharap mereka yang menang pada pemilihan Umno nanti akan membantu kepimpinan tertinggi dalam mengemudi parti.

"Saya mahu siapa pun yang dipilih nanti di peringkat negeri mahu pun peringkat nasional bantu saya dan Tok Mat (timbalan presiden Mohamad Hasan) dalam memperkukuhkan hala tuju parti kita," katanya lagi.