Skip to main
Logo Malaysiakini

Muhyiddin bebas dengan jaminan SPRM, didakwa esok

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Nota editor: Laporan ini telah dikemaskini selepas Muhyiddin dibebaskan dengan ikat jamin.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin telah ditahan semasa memberi keterangan di ibu pejabat suruhanjaya itu pada jam 1.00 petang tadi.

Malaysiakini difahamkan dia akan dibebaskan dengan jaminan SPRM dan dikehendaki hadir ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan esok.

Sebelum itu, Muhyiddin hadir untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan proses siasatan akhir berhubung projek Jana Wibawa dan isu berkaitan.

“SPRM juga telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Muhyiddin di Mahkamah Kuala Lumpur pada 10 Mac.

“Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu bakal menghadapi beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” petik kenyataan suruhanjaya itu.

Tengah hari tadi, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, mengesahkan Muhyiddin yang juga adalah pengerusi Perikatan Nasional (PN) akan didakwa esok.

Sementara itu, sumber SPRM memberitahu Malaysiakini bahawa Muhyiddin akan menghadapi banyak pertuduhan jenayah di mahkamah di Kuala Lumpur esok.

Menurut sumber yang dekat dengan siasatan, dia akan didakwa bawah beberapa peruntukan mengikut Akta SPRM.

Terdahulu, Muhyiddin tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira jam 11.15 pagi.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tiba dengan menaiki sebuah kereta jenis Toyota Velfire berwarna hitam diiringi tiga buah kereta lain sebelum dikerumuni penyokong dan pemberita.

Muhyiddin yang turun berjumpa penyokong turut disambut dengan takbir, dan slogan “hidup, hidup” beberapa kali dan berselawat sebelum diiring penyokong untuk masuk ke ibu pejabat SPRM.

Hadir sama memberi sokongan kepada Muhyiddin ialah Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, Mohamed Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin.

Sejak pertengahan bulan lepas, beberapa pemimpin Bersatu telah dihadapkan ke mahkamah.

Pada 21 Februari, ketua penerangan Bersatu ketika itu Wan Saiful Wan Jan berdepan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta pada 2022.

Beberapa pertuduhan juga dikenakan terhadap timbalan ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad.

Menurut SPRM, pertuduhan-pertuduhan itu berkaitan skim Jana Wibawa - inisiatif untuk mempercepat penyampaian projek bagi merangsang pemulihan ekonomi selepas Covid-19.

Turut didakwa Teo Wee Cheng, yang menjalankan perniagaan di kawasan Pagoh, kebetulan kubu kuat Muhyiddin.