Skip to main
Logo Malaysiakini

PM: Kadang-kadang menteri terpaksa batalkan keputusan pegawai

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mempertahankan keputusan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk memberikan pengecualian kepada Umno berhubung peruntukan Akta Pertubuhan 1966.

Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini, Anwar berkata sebagai perdana menteri dan menteri kewangan, dia telah membatalkan keputusan yang dibuat oleh penjawat awam sebelum ini.

“Umpamanya dulu pegawai diarah untuk beri kontrak ikut rundingan terus. Saya override, saya fikir lebih baik kita guna proses tender terbuka supaya lebih telus," katanya.

Dalam kes Saifuddin, Anwar berkata undang-undang memerlukan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mesti merujuk kepada menteri dan undang-undang memberikan kuasa tertentu kepada menteri.

“Menteri telah menjelaskan perkara itu,” katanya.

Kerajaan menjadi tumpuan selepas Saifuddin mendedahkan bahawa dia menggunakan Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 untuk menghalang Umno daripada dibatalkan pendaftarannya.

Walaupun Saifuddin tidak memberi butiran terperinci apabila dibincangkan di Dewan Rakyat, banyak spekulasi bahawa perkara itu berkaitan dengan ROS yang tidak membenarkan Umno menyekat dua jawatan teratasnya dipertandingkan.

Menurut Perkara 9.3 Perlembagaan Umno, 32 jawatan kepimpinan dalam parti - termasuk dua teratas - tertakluk kepada pemilihan setiap tiga tahun.

Bagaimanapun, Perhimpunan Agung Umno pada Januari memutuskan bahawa dua jawatan teratas tidak seharusnya dipertandingkan.

Saifuddin memberitahu Dewan Rakyat semalam bahawa jalan yang sesuai untuk mencabar keputusannya adalah di mahkamah.