Rina: Pendakwaan Muhyiddin naikkan semangat Srikandi Bersatu
Sayap wanita Parti Bersatu, Srikandi mewujudkan Unit Khas Pilihan Raya Srikandi (UKPS) bagi memantapkan lagi gerak kerja dalam usaha membantu Perikatan Nasional (PN) menawan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, selain mengekalkan pentadbiran di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Ketua Srikandi Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata berkata Srikandi Bersatu akan memainkan lebih peranan dan bekerja lebih keras dalam memastikan PN terus diterima rakyat, sekali gus menjadi pilihan pengundi dalam PRN tersebut.
"Srikandi Bersatu telah bersiap siaga sepenuhnya dan penubuhan UKPS akan memantapkan lagi gerak kerja kita ke arah mencapai matlamat tersebut," katanya ketika menggulung perbahasan sewaktu Persidangan Srikandi Bersatu pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Kuala Lumpur hari ini.
Rina berkata Srikandi juga tekad berdiri teguh dan setia di belakang Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan yakin bekas perdana menteri itu tidak bersalah dalam pertuduhan mahkamah yang dihadapinya.
Beliau berkata peristiwa tersebut membuka mata Srikandi tentang pentingnya bersatu padu dan ia menjadi landasan untuk seluruh anggota parti, khususnya Srikandi, untuk terus setia kepada parti dan kepimpinan agar tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai anasir negatif.
"Pendakwaan yang hanya untuk mencemarkan imej Tan Sri Muhyiddin, Bersatu dan PN ini sama sekali tidak akan menjejaskan fokus Srikandi dalam menghadapi PRN, sebaliknya akan menaikkan lagi semangat juang ke arah mencipta kemenangan," katanya.
Selain isu PRN serta politik, tumpuan perbahasan yang melibatkan 11 orang pembahas turut memfokuskan kepada isu wanita dan ekonomi.
Sementara itu, Srikandi turut menubuhkan tabung 'hibah abah' dan diedarkan kepada lebih 400 perwakilan yang menghadiri perhimpunan itu sebagai solidariti bagi membantu Muhyiddin yang didakwa di mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa.
Hari ini, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai