Skip to main
Logo Malaysiakini

Silap hantar mayat: Suaram puji Saifuddin beri pampasan pada keluarga

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram) memuji Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution kerana bertanggungjawab terhadap kes silap hantar mayat yang dikatakan seorang tahanan.

“Inisiatif untuk membayar balik secara peribadi perbelanjaan pengebumian yang ditanggung oleh keluarga dalam tempoh 48 jam adalah tanda keprihatinan yang mesti dihargai.

“Pengakuan menteri bahawa terdapat unsur-unsur kecuaian yang terlibat dan pemberitahuan bahawa satu jawatankuasa akan ditubuhkan untuk menyiasat lebih lanjut juga menunjukkan komitmen KDN terhadap tadbir urus yang bertanggungjawab,” kata Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy pada satu kenyataan.

Dia berkata bagi memastikan komitmen ini dilaksanakan sepenuhnya, adalah penting Kementerian Dalam Negeri menyediakan maklumat terkini secara berkala dan telus mengenai penemuan siasatan jawatankuasa itu.

“Khususnya sebarang jurang yang ditemui dalam proses pengenalan penjara dan pelaksanaannya, serta cadangan yang sepadan.

“Sebarang cadangan jawatankuasa perlu segera diikuti dengan tindakan responsif oleh pihak berkepentingan yang berkaitan seperti Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara bagi memastikan pengawasan yang teruk seperti itu tidak berulang lagi,” katanya.

Pada 5 Mac lalu, keluarga di Negeri Sembilan yang berkabung selama beberapa hari berhubung kematian anak mereka yang sepatutnya berada dalam tahanan di Penjara Sungai Buloh pada 28 Feb lepas, terkejut apabila mengetahui anak mereka masih hidup.

Beberapa jam sebelum upacara membakar mayat itu, keluarga berkenaan dimaklumkan oleh pihak berkuasa penjara melalui panggilan video bahawa anak lelaki mereka berusia 19 tahun masih hidup di dalam selnya.

Bapa itu dipetik sebagai berkata, dia menyedari mayat itu tidak menyerupai anaknya selepas bedah siasat kerana "ada kesan jahitan, selain rambut juga telah dicukur."

Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran (gambar, atas) kemudian berkata keluarga itu telah membelanjakan antara RM20,000 hingga RM30,000 untuk persiapan upacara pembakaran mayat.

Sejurus selepas laporan itu, Saifuddin berkata dia sendiri akan membayar balik perbelanjaan upacara pembakaran mayat kepada keluarga.

“Atas perbelanjaan yang telah dikeluarkan keluarga (itu), saya sendiri akan bayar pampasan…esok pun boleh (saya) sampaikan.

“Tak adil untuk dia. Bukan anak dia yang meninggal. Mungkin dia datang dari keluarga susah, belanja RM20,000 itu besar. Jadi, saya akan selesaikan dalam kurang 48 jam,” kata Saifuddin.

Suaram turut menggesa Jabatan Peguam Negara mengarahkan majistret/ koroner mengadakan siasatan atau inkues berhubung punca kematian tahanan yang berkenaan seperti diamanatkan dalam seksyen 334 dan 339 Kanun Tatacara Jenayah tanpa berlengah-lengah.

“Siasatan perlu dijalankan secara telus dan saksama.

“Siasatan itu boleh memaklumkan secara mendalam bukan sahaja pemahaman kerajaan tentang faktor asas yang menjadi punca kematian dalam tahanan terus berlaku, tetapi juga dasar dan campur tangan yang perlu dibangunkan atau diperbaiki,” kata Sevan.

Jelasnya, ini juga boleh membina kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan jenayah, kerana siasatan berkenaan menghantar mesej bahawa kerajaan komited untuk melindungi hak dan memastikan keadilan untuk semua, termasuk kumpulan paling terpinggir seperti mangsa kematian dalam tahanan.

“Suaram akan terus memantau perkembangan kes ini, dan kami bersedia memberikan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi kepada keluarga kedua-dua tahanan apabila diperlukan,” katanya.

Sevan merujuk identiti serta punca kematian mayat yang tersilap dihantar ke rumah keluarga berkenaan dan anak mereka yang masih lagi hidup dalam tahanan.

[Baca berita asal]