Skip to main
Logo Malaysiakini

Operasi pindah gajah sesat di taman perumahan selesai

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Operasi memindahkan gajah jantan yang tersesat di hutan berhampiran taman perumahan Pandan Damai, dekat Kuantan sejak petang Isnin lalu, selesai malam tadi.

Operasi itu dilakukan 13 kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) dibantu lapan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang.

Gajah liar dianggarkan berusia 40 tahun itu berjaya ditangkap anggota Unit Tangkapan Gajah PKGK petang Selasa lalu, sehari selepas kelibat haiwan itu dikesan di kawasan berkenaan.

Dua ekor gajah denak bernama ‘Abot’ dan ‘Rambai’ digunakan bagi menjinakkan gajah liar terbabit untuk melancarkan proses pemindahan.

Jurucakap Perhilitan Pahang memberitahu gajah liar itu dihantar ke perkampungan Konservasi Gajah Kenyir, dekat Tasik Kenyir, Terengganu.

"Operasi memindahkan gajah itu dari kawasan hutan ke lori jabatan bermula sekitar jam 2 petang dan selesai sepenuhnya jam 6. 30 petang semalam.

"Kita hanya menghantar gajah terbabit ke Terengganu malam tadi kerana sudah menjadi prosedur operasi standard (SOP), kenderaan membawa haiwan seperti gajah liar hanya boleh bergerak pada waktu malam.

"Kami mendapat kerjasama baik daripada semua agensi berkaitan seperti polis, bomba, Majlis Bandaraya Kuantan termasuk pemimpin masyarakat setempat sepanjang operasi berjalan," katanya.

Dalam kejadian petang Isnin lalu, kira-kira 500 penduduk taman perumahan Pandan Damai cemas apabila menyedari kehadiran gajah liar dipercayai tersesat dalam kawasan hutan berhampiran.

Gajah jantan memiliki sepasang gading itu dipercayai tersesat dari Bukit Goh dan menjadikan Hutan Simpan Cerul, sebagai kawasan habitat semulajadi.

Difahamkan haiwan itu menyusur sepanjang laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT), sebelum dikesan dalam hutan kecil dekat taman perumahan berkenaan.