Skip to main
Logo Malaysiakini

Pindaan Perlembagaan isu kewarganegaraan dijangka dibentang Jun

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kerajaan dijangka membentangkan pindaan yang memberi hak kepada wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing untuk memberikan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara pada persidangan parlimen Jun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata kemungkinan rang undang-undang itu dibentangkan dalam persidangan parlimen ketika ini adalah rendah.

Sidang parlimen ketika ini yang bermula 13 Februari dijangka berlangsung hingga 4 April dan sebahagian besar tempoh itu didedikasikan untuk perbahasan titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong serta Belanjawan 2023.

Hanya empat hari ditetapkan untuk pembentangan dan perbahasan rang undang-undang kerajaan yang lain menjelang akhir persidangan ini.

“Rang undang-undang untuk meminda Perlembagaan dijangka dibentangkan pada persidangan akan datang memandangkan terdapat beberapa isu yang perlu dibincangkan dengan lebih lanjut, terutamanya isu dua kewarganegaraan.

“Saya harap kita boleh bentang untuk sidang Jun. Satu jawatankuasa kabinet berhubung isu kewarganegaraan telah dibentuk dan kini sedang membincangkan isu-isu berkaitan kewarganegaraan sebagai persediaan untuk persidangan akan datang,” kata Azalina, seperti dilaporkan Malay Mail hari ini.

Sidang Jun dijangka hanya tertumpu pada pembentangan dan perbahasan rang undang-undang kerajaan.

Azalina juga berkata rang undang-undang mengenai cadangan pindaan Perlembagaan tersedia dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Memandangkan rang undang-undang itu akan mencadangkan membuat perubahan kepada peruntukan kewarganegaraan dalam Perlembagaan Persekutuan, Azalina berkata ia memerlukan perkenan Majlis Raja-Raja.

“Ya, ia diperlukan berdasarkan Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan akan membawanya ke Majlis Raja-Raja selepas memuktamadkan penyelesaian dalam isu pelaksanaan,” katanya.

Ogos lalu, menteri undang-undang ketika itu Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memberikan kerakyatan kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara melalui ibu warganegara Malaysia adalah di luar kuasa kerajaan.

Ini kerana pindaan perlembagaan memerlukan penglibatan Majlis Raja-Raja, katanya sambil menambah kerajaan pada masa itu hanya akan memutuskan tindakan seterusnya sebaik keputusan Mahkamah Persekutuan dibuat mengenai perkara itu.

Pada 17 Feb, Azalina dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengeluarkan kenyataan bersama mengatakan kabinet bersetuju untuk meminda Perlembagaan berhubung isu ini.