Skip to main
Logo Malaysiakini

Ulama Umno selar pihak jadikan masjid medan sebar permusuhan politik

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pemimpin Ulama Umno menegur perbuatan sesetengah pihak yang menjadikan masjid sebagai medan untuk menyindir dan menghentam musuh politik.

Setiausha Eksekutif Majlis Ulama Umno, Mohd Khairuddin Aman Razali berkata masjid dan surau adalah medan penyatuan umat Islam dan tidak seharusnya menjadi tempat untuk menanam kebencian.

"Para alim ulama perlu bersifat menyatu kalangan umat bukan terus mencarikkan. Persaingan politik kepartian sesama Muslim jangan dinaratifkan bagaikan pertembungan iman dan kufur.

"Lalu dibaca ayat-ayat pertembungan antara jahiliyah Quraisy yang kufur dan menentang Islam dengan Rasulullah SAW untuk memberi mesej salah bahawa persaingan ini adalah persaingan Islam dan kufur," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Bekas pemimpin PAS itu dipercayai mengulas kepada kenyataan dikeluarkan beberapa majlis agama Islam negeri melarang pemimpin politik untuk berceramah di masjid.

Pada 3 Mac lalu, Terengganu turut mengeluarkan larangan pemimpin politik termasuk ahli parlimen, ahli dewan undangan negeri (Adun) serta ahli Dewan Negara dilarang memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau di Terengganu.

Pemimpin politik juga dilarang meyampaikan khutbah Jumaat.

Menurut kenyataan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu, Shaikh Harun Shaikh Ismail, larangan tersebut dibuat agar semua tempat ibadat umat Islam di negeri itu tidak disalahgunakan untuk tujuan politik kepartian.

“Semua ahli yang berhormat sama ada ahli dewan undangan negeri, ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Negara tidak dibenarkan bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid.

“Semua kepimpinan dan aktivis parti politik tidak dibenarkan menyampaikan apa-apa ceramah, kuliah atau pengajaran agama di masjid dan surau dalam Terengganu," katanya.

Meskipun larangan berkenaan telah dikeluarkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menegaskan yang dia akan terus menyampaikan kuliah di masjid.

Semalam, Abdul Hadi tanpa menghiraukan larangan itu telah menyampaikan ceramah di sebuah masjid di Terengganu.

Sementara itu, Mohd Khairuddin juga menegur tindakan pihak yang mendoakan 'kemusnahan' sesama umat Islam.

"Doa-doa khusus memohon kemusnahan sesama muslim wajar dielakkan. Ia mencarik bukannya menyatu," katanya.