PBB sambut baik Arab Saudi-Iran sambung semula hubungan diplomatik
GLOBAL | Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengalu-alukan perjanjian Arab Saudi-Iran untuk menyambung semula hubungan diplomatik selain memuji peranan yang dimainkan China dalam proses itu.
“Bagi pihak setiausaha agung saya menyambut baik kenyataan bersama tiga pihak oleh Kerajaan Arab Saudi, Iran dan China yang disepakati hari ini di Beijing...untuk menyambung semula hubungan diplomatik dalam tempoh dua bulan.
"Setiausaha agung juga telah merakamkan penghargaan kepada China kerana menganjurkan rundingan itu dan mempromosikan dialog antara kedua-dua negara," kata jurucakap PBB Stephane Dujarric kepada pemberita pada taklimat media harian.
Setiausaha agung turut memuji usaha negara lain seperti Oman dan Iraq.
Sambil menyifatkan kepentingan hubungan yang baik antara Iran dan Arab Saudi untuk kestabilan rantau Teluk, Dujarric berkata setiausaha agung bersedia untuk membantu memajukan lagi dialog serantau dan memastikan keamanan serta keselamatan yang berkekalan di rantau Teluk.
Sementara itu, Iraq juga mengalu-alukan perjanjian itu selepas bertahun-tahun persengketaan yang mencetuskan ketegangan di Timur Tengah.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Iraq memaklumkan bahawa perjanjian itu telah membuka "lembaran baru dalam hubungan diplomatik antara kedua-dua negara jiran itu."
Menurut kenyataan Kementerian Luar Jordan, langkah itu diharap akan meningkatkan kestabilan dan keselamatan di rantau ini sambil memelihara kedaulatan negara dan tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman.
Menteri Luar Lubnan Abdallah Bou Habib pada Jumaat berkata perjanjian antara Arab Saudi dan Iran itu diharap bukan sahaja dapat meningkatkan keselamatan dan kestabilan di Timur Tengah malah memberi manfaat kepada rantau ini dan dunia.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai