Skip to main
Logo Malaysiakini

Muhyiddin kekal presiden? Bersatu akan buat kenyataan rasmi - Azmin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bersatu akan membuat kenyataan media rasmi berhubung kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai presiden parti, kata Mohamed Azmin Ali.

"Kita akan buat satu kenyataan rasmi oleh setiausaha agung.

"Saya percaya kenyataan akan dibuat malam ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di Markas Tarbiah PAS, Taman Melewar, Gombak, hari ini.

Terdahulu, Azmin yang juga ahli MPT Bersatu ditanya sekiranya mesyuarat hari ini ada membincangkan kedudukan Muhyiddin dalam parti yang kini berdepan perbicaraan di mahkamah.

Sebelum ini, dilaporkan bekas ketua penerangan parti itu Wan Saiful Wan Jan berkata bahawa Bersatu sebulat suara mahu Muhyiddin kekal sebagai presiden parti itu.

Muhyiddin semalam meminta dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta.

Dia berdepan hukuman penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan terbabit atau RM10,000 yang mana lebih tinggi bagi pertuduhan salah guna kuasa.

Muhyiddin juga berkata dia akan mematuhi keputusan MPT Bersatu berhubung kedudukannya sebagai presiden.

Sebelum ini, dilaporkan MPT Bersatu juga akan mengadakan perbincangan berhubung perkara itu dalam mesyuarat petang tadi.

Bagaimanapun, Azmin berkata mesyuarat hari ini sekadar membincang mengenai persiapan kepada Perhimpunan Agung Tahunan yang akan diadakan esok.

"Ini adalah mesyuarat biasa sebelum adakan persidangan agung tahunan, kita ada mesyuarat khas MPT untuk mengesahkan beberapa dokumen seperti laporan kewangan yang akan dibentangkan dalam perhimpunan esok.

"Kita juga mendengar laporan-laporan tentang mesyuarat-mesyuarat yang diadakan seperti mesyuarat Srikandi, Armada dan juga Srikandi Muda.

"Mesyuarat hari ini adalah prosedur biasa sebelum kita pergi ke perhimpunan agung esok," katanya.