Skip to main
Logo Malaysiakini

'Campur tangan politik': Tak semua dakwaan PN tiada asas - C4

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) berkata tidak semua dakwaan pemimpin PN tiada asas bahawa tindakan SPRM terhadap mereka bermotifkan politik.

C4 menyoal mengapa agensi itu hanya memulakan siasatan dan pendakwaan kes yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa selepas kerajaan baru berkuasa.

"Mengapa siasatan ini tidak dimulakan sedangkan dakwaan mengenai salah urus kewangan dan penyelewengan kerajaan sebelum ini sudah tersebar," katanya pada satu kenyataan hari ini.

NGO itu juga berkata bahawa pentadbiran terdahulu diketahui telah menggunakan agensi penguatkuasaan untuk "menakut-nakutkan dan mengganggu lawan politik."

C4 berkata SPRM tidak seharusnya bertindak atas apa-apa jenis kecenderungan politik dan menggesa SPRM dibebaskan daripada pengaruh langsung perdana menteri dan cabang eksekutif serta diletakkan di bawah pengawasan parlimen.

Kenyataan itu susulan tuduhan pemimpin kanan PN bahawa kerajaan menggunakan agensi penguatkuasaan untuk menyerang musuh politiknya.

Ini termasuk daripada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang didakwa atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram.

Bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan (gambar, bawah) turut membuat dakwaan serupa selepas didakwa menerima rasuah RM6.9 juta dan meminta jumlah yang tidak dinyatakan berhubung projek jalan raya RM232 juta yang dikaitkan dengan program itu.

Semalam, kedua-dua SPRM dan Jabatan Peguam Negara (AGC) menafikan terdapat sebarang campur tangan dalam siasatan berkaitan program Jana Wibawa.

“Kertas-kertas siasatan yang telah dilengkapkan kemudian dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk kajian dan pertimbangan sewajarnya.

“Proses siasatan tersebut adalah bebas daripada sebarang campur tangan mana-mana pihak," kata SPRM menegaskan bahawa siasatan yang dijalankan terhadap beberapa individu berhubung program Jana Wibawa adalah inisiatif berdasarkan maklumat dan bukti yang diperoleh oleh suruhanjaya itu sendiri.

“Justeru itu, tohmahan yang mengatakan siasatan SPRM tersebut atas arahan pihak tertentu dan bermotifkan politik adalah tidak benar sama sekali serta telah menjejas imej suruhanjaya ini,” kata agensi antirasuah itu lagi.

AGC juga mengeluarkan kenyataan yang menafikan bahawa terdapat sebarang unsur pendakwaan terpilih atau pengaruh tidak wajar dalam keputusannya untuk meneruskan pertuduhan.

C4 hari ini menggesa pembaharuan institusi yang akan meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti, termasuk penggubalan Akta Perolehan, Akta Pembiayaan Politik dan penubuhan pejabat Ombudsman.