Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tak ada revolusi, orang salah faham ramalan kerajaan tumbang'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mendakwa ramai pihak telah salah faham kenyataan PAS yang meramalkan kerajaan akan tumbang.

Dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu hari ini, Muhyiddin yang juga pengerusi PN berkata tidak akan berlaku "revolusi" dan gabungan itu akan terus mempertahankan sistem demokrasi.

"Bila PAS kata jangan baling batu rumah jiran dan ramalkan kalau kerajaan berterusan begini (dan) mungkin mereka tak akan duduk lama menerajui kerajaan, ada orang salah faham.

"Macam nak adakan satu revolusi, no such thing (tidak ada).

"Ini demokrasi dan kita akan pertahan sistem demokrasi. Kita tak akan sesekali melakukan sesuatu yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Pada akhir bulan lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menjangkakan kerajaan hari ini yang diterajui oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan tumbang tidak lama lagi.

Seminggu kemudian, dia juga berkata PN berhak merancang ke arah menumbangkan kerajaan tanpa halangan daripada mana-mana pihak dan ia boleh berlaku menerusi undi tidak percaya atau akuan bersumpah.

Hadi kini disiasat polis berhubung kenyataan itu.

Mana-mana ahli parlimen yang bertukar parti akan menyebabkan dia kehilangan kerusi.

Namun, parti dan gabungan politik boleh mengubah sokongan mereka.

Pada Disember lalu, gabungan parti utama dalam kerajaan menandatangani memorandum persefahaman (MOU) di mana mereka antara lain berikrar untuk menyokong Anwar dalam mana-mana usul kepercayaan atau rang undang-undang bekalan atau mana-mana usul berkaitan kepercayaan terhadap kerajaan.