Skip to main
Logo Malaysiakini

'Hanya keputusan naib ketua Pemuda Umno belum muktamad'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Hanya keputusan pertandingan bagi jawatan naib ketua Pemuda Umno dalam pemilihan sayap parti itu yang belum boleh dimuktamadkan pada malam tadi, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Shahrir Abdul Samad.

Shahrir berkata ini kerana terdapat lapan lagi bahagian belum menghantar keputusan undian mereka kepada ibu pejabat Umno.

Menurut Shahrir persaingan bagi jawatan itu sangat sengit dengan hanya enam undi memisahkan Mohd Hairi Mad Shah yang memperoleh 85 undi dan Ikmal Hazlan Ikmal Hisham dengan 79 undi setakat lapan malam tadi.

“Menunggu kepastian kerana perbezaan antara tempat pertama dan tempat kedua (buat masa ini) hanyalah enam undi. Jadi maknanya kalau ada lagi lapan bahagian (yang masih belum hantar) ia boleh mengubah keadaan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Menara Dato’ Onn di Kuala Lumpur, malam tadi.

Shahrir bagaimanapun berkata keputusan bagi jawatan ketua Pemuda dan jawatan-jawatan bagi sayap Wanita dan Puteri Umno sudah boleh ditentukan pada malam tadi, walaupun secara tidak rasmi.

Shahrir Samad

Katanya, di peringkat Wanita, Noraini Ahmad berjaya mempertahankan kedudukannya yang dicabar Shahrizat Abdul Jalil manakala Norliza Abdul Rahim turut mempertahankan jawatannya sebagai naib ketua Wanita.

Untuk jawatan ketua Pemuda Umno pula, Dr Muhamad Akmal Salleh menang selesa dengan 119 undi setakat ini berbanding 50 undi diraih pencabar terdekatnya, Mohd Shahar Abdullah.

Shahrir berkata, Nurul Amal Mohd Fauzi berjaya memenangi jawatan ketua Puteri Umno dan naib ketua sayap itu adalah Siti Sokhleha Nordin.

Menurut Shahrir keputusan rasmi berkenaan kesemua jawatan tersebut akan diumumkan pada satu sidang media pagi ini.

Sementara itu, Shahrir memaklumkan pihaknya menerima bantahan keputusan bagi jawatan ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Kedah dan pemilihan bagi jawatan itu akan diadakan semula sebelum 17 Mac ini.

Katanya, ia selaras dengan prinsip parti yang memberi masa tiga hari kepada mana-mana perwakilan untuk mengemukakan bantahan mereka.

-Bernama