Saravanan akui ke India, tapi bukan ikut menteri cari telur
Timbalan Presiden MIC M Saravanan menafikan dirinya sebahagian rombongan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu ke India baru-baru ini untuk bertemu pembekal telur ayam.
Pun begitu, Saravanan mengesahkan dia berada dalam penerbangan yang sama ke India dengan Mohamad, seperti yang dilihat dalam beberapa gambar yang diterbitkan oleh sebuah blog dan telah diedarkan semula oleh portal MalaysiaNow pada Jumaat.
"Ini (perjalanan) berlaku pada bulan Januari. Saya pergi ke India untuk upacara sembahyang dan kebetulan saya terserempak dengan menteri dan lelaki yang berkenaan," kata Saravanan kepada Malaysiakini, merujuk kepada ahli perniagaan kontroversi Deepak Jaikishan yang turut kelihatan dalam gambar-gambar itu.
“Mereka mempunyai kereta buggy yang terhad. Jadi di lapangan terbang (Chennai) selepas mendarat, kami semua perlu berkongsi kenderaan yang sama kerana laluan pejalan kaki agak jauh.
"Saya pergi (ke India) untuk ikuti upacara, saya tidak tahu mereka pergi untuk beberapa urusan rasmi. Ia hanya kebetulan, itu sahaja," jelas bekas menteri itu ketika dihubungi hari ini.
Perjalanan Mohamad ke India mendapat perhatian berikutan dakwaan mengenai kontrak rundingan terus kerajaan kepada sebuah syarikat tunggal untuk bekalan telur dari negara itu.
Pada Sabtu, pemimpin Bersatu Azmin Ali mendakwa kerajaan persekutuan pimpinan Anwar Ibrahim telah menganugerahkan projek mengimport telur dari India kepada Deepak, seorang ahli perniagaan yang menjadi pengkritik terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.
Ketika menyampaikan ucapan pada majlis ceramah Perikatan Nasional (PN) di Kuala Lumpur, bekas menteri kanan itu juga mendakwa kontrak berkenaan diberikan melalui rundingan terus, bertentangan dengan ikrar kerajaan baru untuk menamatkan amalan sedemikian bagi projek kerajaan.
Azmin juga mendakwa telur yang diimport Deepak dari India diberi pengecualian oleh kerajaan daripada menjalani pemeriksaan keselamatan makanan.
Sebagai tindak balas, J&E Advance Tech Sdn Bhd - pengimport tunggal telur dari India - hari ini menafikan kedua-dua dakwaan berhubung rundingan langsung dan pengecualian keselamatan makanan.
Sebaliknya, syarikat itu berkata ia telah meminta kebenaran daripada kerajaan untuk mengimport telur dari India bagi menangani kekurangan teruk dalam pasaran dan diberi kelulusan sementara berkuat kuasa sehingga Jun 2023.
Syarikat itu dalam kenyataannya tidak menyebut tentang hubungan Deepak yang dikatakan dan semakan dengan Suruhanjaya Syarikat mendapati nama saudagar permaidani itu tidak disenaraikan sebagai pemegang saham atau pengarah dalam firma itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai