Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan tak guna dana awam import telur dari India

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan Malaysia tidak ada memberikan subsidi kepada telur ayam import sepertimana yang dinikmati pengeluar telur ayam tempatan, maklum Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

"Sebarang perbelanjaan dan risiko untuk mengimport telur ayam ini ditanggung sepenuhnya oleh syarikat pengimport dan tiada dana awam yang digunakan.

"Kebenaran mengimport telur ayam boleh ditamatkan pada bila-bila masa apabila bekalan telur dalam negara telah pulih dan stabil," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Ini selepas bekas ahli parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali pada Sabtu mendakwa kontrak untuk import telur diberikan kerajaan melalui rundingan terus dan dikecualikan daripada pemeriksaan keselamatan makanan.

Bagaimanapun, kementerian pertanian hari ini menjelaskan kerajaan telah menetapkan protokol import untuk memastikan setiap haiwan dan produk haiwan yang ingin dibawa masuk ke negara ini mestilah bebas daripada sebarang penyakit yang boleh memudaratkan tumbuhan, haiwan dan juga rakyat Malaysia.

"Justeru itu, mana-mana syarikat yang ingin mengimport haiwan dan produk haiwan perlu merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) untuk memastikan negara sumber tersebut tersenarai dalam negara yang diluluskan.

"Bagi negara yang belum diluluskan, analisa risiko import perlu dijalankan terlebih dahulu.

"Setelah melepasi analisa tersebut dan diluluskan di peringkat kementerian, barulah produk tersebut dibenarkan untuk diimport," katanya lagi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu pada 6 Disember tahun lalu mengumumkan kebenaran bagi mengimport telur dari sumber luar sebagai langkah sementara untuk mencukupkan kekurangan bekalan telur dalam negara yang agak meruncing sejak bulan Oktober 2022.

Syarikat J&E Advance Tech telah diberikan kelulusan khas sementara sehingga 30 Jun 2023 untuk menjadi pengimport tunggal telur dari India.

Dalam perkembangan berkaitan, J&E mengancam untuk menyaman bekas Azmin yang juga pimpinan Bersatu berhubung ucapan yang dibuatnya mengenai perniagaan itu.

Menjawab ucapan itu, J&E Advance Tech Sdn Bhd - pengimport tunggal telur dari India - menyifatkan dakwaan Azmin sebagai "satu pembohongan terang-terangan."

"J&E tidak pernah diberikan sebarang kontrak rundingan terus oleh kerajaan dan J&E tidak pernah menjual atau menawarkan untuk menjual telur yang diimport dari India kepada kerajaan atau mana-mana agensi kerajaan atau syarikat-syarikat GLC yang berkaitan," kata syarikat itu.