Etika berpakaian tanpa budi bicara langgar pekeliling k'jaan - Ngeh
PARLIMEN | Penguatkuasaan kod pakaian tanpa budi bicara di bangunan kerajaan dikatakan melanggar pekeliling kerajaan pada 2020 oleh ketua setiausaha negara.
Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) berkata pekeliling itu dengan jelas menyatakan bahawa tiada sesiapapun boleh didiskriminasi daripada menerima perkhidmatan kerajaan hanya kerana cara mereka berpakaian.
"Malangnya pekeliling tidak dipenuhi dan kebelakangan ini kita terima banyak aduan bahawa orang ramai tidak dibenar buat laporan polis dan diterima rawatan hospital atau urusan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
"Ada juga kes bila pergi ke pejabat pendidikan, dikatakan tidak ikut kod etika pakaian.
"Apa yang sedang berlaku ini adalah satu diskriminasi kepada wanita, orang miskin, pesakit, buruh kasar, orang asal, Orang Asli dan ramai orang lain hanya kerana tidak mematuhi kod etika pakaian," katanya di Dewan Rakyat.
Ngeh merujuk kepada pekeliling bertarikh 1 Dis 2020 oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Mohd Zuki Ali (gambar, atas).
Perkara 2.5 pada tambahan tersebut menyatakan Putrajaya tidak bercadang untuk mengenakan kod pakaian "standard" sebaliknya menggesa agensi kerajaan menyatakan dengan jelas bahawa pelanggan perlu berpakaian "sederhana dan sesuai."
Berdasarkan Perkara 2.7, ketua jabatan kerajaan dibenarkan menggunakan budi bicara mereka sendiri dalam menentukan apa itu "sopan dan bersesuaian" untuk memastikan pelanggan dilayan "tanpa sebarang bentuk diskriminasi."
Ngeh berhujah beberapa pegawai kerajaan telah salah faham pekeliling KSN dan prinsip kelima Rukun Negara, kesopanan dan kesusilaan yang bertujuan memupuk perpaduan rakyat serta bukan peraturan pentadbiran.
"Saya terperanjat IGP pun keliru tentang prinsip kelima ini, beliau pertahankan polis yang larang individu tidak patuhi kod etika pakaian untuk membuat laporan polis.
"Beliau terlupa tanggungjawab polis adalah kuat kuasa undang-undang dan jaga ketenteraman awam," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai