Skip to main
Logo Malaysiakini

4.11 peratus penjawat awam berbangsa India - Armizan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PARLIMEN l Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa kira-kira 4.11 peratus daripada lebih satu juta pegawai dan kakitangan dalam sektor perkhidmatan awam adalah kaum India.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Fungsi Khas) Armizan Mohd Ali berkata ini mengikut data kakitangan jawatan berwaran, tidak termasuk dalam pasukan tentera dan polis.

“Jumlah bilangan pegawai dan kakitangan kaum India yang berkhidmat dalam sektor awam sehingga 31 Disember tahun lalu adalah seramai 41,117 daripada jumlah keseluruhan penjawat awam berjumlah 1,001,012. 

“Data perjawatan ini adalah berdasarkan jawatan berwaran, tidak termasuk polis dan tentera, dan tertakluk kepada pengemaskinian oleh pengguna dan pegawai,” kata Armizan.

M Saravanan (BN-Tapah)

Menteri itu berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada M Saravanan (BN-Tapah) yang meminta perdana menteri menyatakan jumlah pegawai dan kakitangan India yang sedang berkhidmat dalam sektor awam dan peratusannya berbanding jumlah penjawat awam.

Bagaimanapun, Armizan, dalam jawapan ringkas itu, tidak menjelaskan secara terperinci peratusan kaum-kaum lain dalam perkhidmatan awam.

Pada Februari lalu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy melalui media sosial mencadangkan bahawa supaya perkhidmatan awam Malaysia menjalani reformasi.

P Ramasamy

Sambil menggesa perdana menteri supaya mereformasikan perkhidmatan awam, katanya Anwar Ibrahim perlu menyedari keperluan untuk memecahkan dasar monopoli kaum tertentu semasa era kepimpinan Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Anwar berkata kerajaan tidak akan mengambil kira gesaan dan pandangan Ramasamy mengenai dasar dominasi kaum tertentu kerana ia adalah pandangan peribadi dan kerajaan tidak melihat perkara itu sebagai satu isu.

Sementara itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) pula menegaskan tiada diskriminasi kaum dalam pengambilan penjawat awam di negara ini dan rakyat di negara ini mempunyai peluang yang sama untuk dipertimbangkan dalam persaingan terbuka dan adil.

SPA berkata kaedah pelantikan penjawat awam adalah telus dan berdasarkan merit serta kecekapan calon, sambil menambah tiada kuota pengambilan pekerja ditetapkan untuk sesuatu kaum atau etnik.

[Baca berita asal]