Skip to main
Logo Malaysiakini

KDN rampas alat mainan seks bernilai RM1.1 juta

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 22,926 pelbagai alat mainan seks bernilai RM1.1 juta dalam serbuan di sebuah gudang di Bukit Mertajam, dekat Butterworth pada 15 Feb lepas.

Setiausaha Bahagian PKK KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata pihaknya menjalankan serbuan menerusi Ops Maya di gudang itu pada 12 tengah hari, hasil risikan dan intipan yang dijalankan penguatkuasanya sejak beberapa minggu sebelum itu.

"Semasa serbuan itu, terdapat seorang wanita berusia 29 tahun yang mengaku semua alat mainan seks di gudang berkenaan adalah untuk perniagaannya yang dijalankan sejak tahun lepas, dan kami telah menahannya bagi membantu siasatan kes itu.

"Dalam serbuan itu, kami merampas patung seks, pelbagai alat kemaluan lelaki dan wanita, vibrator, serta lain-lain alat mainan seks yang dilarang di negara ini.

“Berdasarkan siasatan, semua alat seks mainan tersebut dibawa masuk dari China," katanya pada sidang media di Butterworth hari ini.

Nik Yusaimi berkata semua alat mainan seks yang dirampas itu didapati adalah bagi jualan menerusi dalam talian terutama platform e-dagang dengan harga antara RM70 hingga RM450 mengikut jenis alat berkenaan.

"Wanita itu dipercayai mampu mengaut keuntungan sehingga dua kali ganda daripada nilai barangan berkenaan, dan kami percaya terdapat beberapa premis lain di negeri ini turut menjalankan kegiatan menjual alat mainan seks secara dalam talian, namun bukan secara terus di kedai," katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana memudaratkan kemoralan dan Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan iaitu mengedar atau menjual barang-barang lucah.

- Bernama