Skip to main
Logo Malaysiakini

Tuduh PM campur tangan: Polis digesa siasat Muhyiddin

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PKR Wilayah Persekutuan hari ini menggesa polis menyiasat Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim campur tangan atas pertuduhan terhadapnya di mahkamah.

Setiausaha politik kepada perdana menteri, Azman Abidin membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, tengah hari tadi.

"Kami menganggap perkara (dakwaan Muhyiddin terhadap Anwar) ini serius. Muhyiddin sepatutnya membiarkan mahkamah yang menentukan sama ada dia salah atau tidak.

"Dia tidak boleh menuduh perdana menteri dalam kes-kes yang dikenakan terhadapnya.

"Saya minta pihak polis membuat siasatan terhadap dakwaan Muhyiddin," katanya yang mewakili ketua-ketua cabang PKR di Wilayah Persekutuan kepada pemberita.

Laporan polis hari ini merupakan yang kedua berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Muhyiddin pada Jumaat yang lalu.

Terdahulu, Setiausaha politik kepada menteri kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim membuat laporan polis terhadap Muhyiddin.

Pada Jumaat lalu, Muhyiddin didakwa atas kesalahan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta - yang didakwa diperoleh daripada tiga syarikat dan seorang individu semasa dia menjadi perdana menteri.

Presiden Bersatu itu dan penyokongnya membayangkan dana berkenaan merupakan sumbangan politik.

Muhyiddin dikenakan satu lagi pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM5 juta berkaitan program Jana Wibawa hari ini.

Sementara itu, Azman yang juga ketua PKR cabang Bandar Tun Razak berkata bahawa dakwaan Muhyiddin terhadap Anwar bertujuan mengalih perhatian orang ramai terhadap kes ini.

"Niat beliau itu sebenarnya untuk mengalih perhatian dan mohon simpati kepada orang ramai bahawa beliau ini seolah-olah teraniaya," katanya.