Laporan ketua audit dedah kelemahan pengurusan 40 hutan simpan S'gor
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2 mengenai Auditan Khas Pengurusan Hutan dan Impak Kepada Alam Sekitar mendapati berlaku kelemahan dalam pengurusan aktiviti melibatkan 40 daripada 76 Hutan Simpan Kekal (HSK) di Selangor.
Dalam kenyataan Jabatan Audit Negara (JAN) hari ini, HSK berkenaan masih belum melaksanakan kerja-kerja pengukuran dan penandaan sempadan luar hutan itu.
Laporan itu memaklumkan sembilan pewartaan masuk dan tujuh pewartaan keluar HSK masih belum selesai disiar warta melibatkan tempoh antara satu hingga tujuh tahun daripada tarikh kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) manakala seluas 106,754.66 hektar (42.5 peratus) HSK masih belum diwartakan mengikut 12 kelas fungsi.
"Pencapaian keberhasilan memberikan impak negatif terhadap aspek sosial dan alam sekitar kesan daripada ketidakpatuhan aktiviti kuari serta konflik hidupan liar," menurut laporan itu.
Laporan itu turut mendapati 40 kes penerokaan haram dalam HSK direkodkan dengan keluasan 3,537.01 hektar, iaitu aktiviti pertanian (3,356.67 hektar), penempatan dan infrastruktur (146.08 hektar) serta penternakan (34.26 hektar).
Selain itu, terdapat ketidakpatuhan terhadap syarat Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) di negeri itu bagi aktiviti kuari seperti bekas penyimpanan minyak diletakkan di kawasan terbuka, pengendalian bahan buangan terjadual tidak diuruskan dengan sewajarnya, kesan pembakaran terbuka di tapak kuari dan kualiti air serta udara melebihi had ditetapkan.
Menurutnya lagi, pencapaian output dari aspek kutipan hasil hutan menunjukkan penurunan dan anggaran kehilangan hasil permit penggunaan berjumlah RM7.16 juta bagi pengurusan hutan lipur dan RM1.36 juta untuk ladang hutan.
Dalam pada itu, JAN memaklumkan LKAN mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri Selangor Tahun 2021 secara kesuruhannya mendapati kedudukan kewangan negeri adalah kukuh.
"Secara keseluruhannya, baki Kumpulan Wang Disatukan bagi Selangor meningkat sebanyak RM358.69 juta atau 14.7 peratus menjadi RM2.804 bilion pada 2021 berbanding RM2.445 bilion pada 2020," menurut laporan itu.
Pada akhir 2021, Selangor mencatatkan lebihan semasa dalam Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM250.34 juta dan lebihan dicatatkan itu adalah apabila hasil yang diterima berjumlah RM2.284 bilion melebihi perbelanjaan mengurus sebanyak RM2.034 bilion dalam tahun semasa.
LKAN dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini dan laporan itu dimuat naik dalam laman web JAN http://www.audit.gov.my.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai