Skip to main
Logo Malaysiakini

Perdagangan karbon: Peluang pendapatan baru pemilik tanah adat di S'wak

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Inisiatif kerajaan Sarawak untuk mempergiatkan penglibatannya dalam perdagangan karbon boleh menawarkan peluang pendapatan baru kepada pemilik tanah Hak Adat Anak Bumiputera (NCR).

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata berkata tanah NCR dengan kecerunan cerun lebih 35 darjah berpotensi untuk dijadikan tapak simpanan karbon sekiranya pemilik boleh digalakkan untuk menghentikan amalan penanaman dalam tempoh jangka pendek.

“Apabila pemilik tanah NCR melakukan penanaman untuk jangka pendek, anda akan menebang dan membakar pokok-pokok tetapi jika anda membiarkan tanah itu tidak disentuh, pokok-pokok akan membesar selepas dalam tempoh tertentu. Pokok diketahui menyimpan karbon dioksida dan membebaskan oksigen ke atmosfera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan bengkel pembangunan ketiga Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) di Kuching hari ini.

Uggah berkata beliau akan berbincang dengan lebih lanjut mengenai perkara itu dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Saya akan bercakap dengan Premier, Abang Johari, mengenai bagaimana pemilik tanah NCR boleh mendapat manfaat daripada ekonomi baru ini.

“Saya tidak mempunyai butiran buat masa ini tetapi ini masih pada peringkat cadangan,” katanya.

- Bernama