Skip to main
Logo Malaysiakini

Rafizi akan jumpa MP Kelantan bincang isu IPR

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Rafizi Ramliakan berjumpa ahli parlimen Kelantan mengenai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) selepas Belanjawan 2023 diluluskan.

Dia menjangkakan perjumpaan itu akan berlangsung dalam beberapa minggu lagi.

Rafizi memaklumkan perkara itu ketika ditanya mengenai aduan daripada ahli parlimen Kelantan yang mendakwa bahawa pengundi mereka tidak tahu mengenai skim penjanaan pendapatan baru itu.

"Sebaik sahaja pengundian belanjawan selesai, akan menjadi lebih mudah, mengikut masa, untuk kementerian dan ahli parlimen (berjumpa)," katanya kepada pemberita di Bank Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Program IPR bertujuan untuk membasmi kemiskinan tegar tetapi mempunyai penerimaan yang rendah di negeri-negeri miskin seperti Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Rafizi mendedahkan daripada 22,000 orang yang telah mendaftar IPR, hanya 1.7 peratus adalah dari Kelantan, Terengganu (1.5 peratus), Perlis (0.5 peratus), Sabah (5.7 peratus) dan Sarawak (2.4 peratus).

Justeru, Rafizi berkata dia berharap dapat bertemu dengan wakil pembangkang supaya mereka dapat memujuk pengundi mereka yang memerlukan untuk mendaftar IPR.

Dia berkata kementerian menyasarkan untuk memberi perhatian khusus untuk memperluaskan IPR ke 20 daerah termiskin di negara ini seperti Pitas, Kudat dan Kota Marudu di Sabah; Jeli, Kuala Krai, dan Bachok di Kelantan; dan Besut dan Marang di Terengganu.

Rafizi berkata sehingga kini, kementeriannya telah menghubungi pihak berkuasa tempatan, termasuk menganjurkan 'town hall' dan penglibatan dengan semua majlis tempatan, datuk bandar dan tokoh majlis perbandaran.

Sementara itu, berhubung inisiatif Banci Ekonomi edisi kelima yang dilancarkan hari ini, Rafizi berharap data yang dikumpul daripada 1.2 juta perniagaan dapat membantu merangka dasar kerajaan dengan lebih baik untuk memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Dia berkata banci edisi tahun ini akan memulakan tinjauannya pada April ini dan akan berakhir pada September dan data itu dijangka dikeluarkan secara berperingkat mulai April tahun depan.