Skip to main
Logo Malaysiakini

Dituduh terlibat Kristianisasi, Yeoh petik pendirian PAS

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Selepas sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dituduh menjalankan program yang berkaitan Kristianisasi, menterinya membalas dengan menggunakan hujah pernah disuarakan pemimpin PAS.

Menjawab persoalan tersebut, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata pihak yang membuat "fitnah" terhadap kerajaan wajar mendengar nasihat yang pernah disuarakan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Saya cadangkan kepada tukang fitnah di luar sana untuk dengar nasihat... dapatkan nasihat Tuan Ibrahim.

“Tuan Ibrahim ahli parlimen PAS dan PN - pada 2 Okt 2018 - beliau sendiri kata, tidak salah orang Islam masuk kuil terima kalungan.

"Timbalan presiden PAS, Tuan Ibrahim berkata, parti itu tidak mempertikaikan mana-mana orang Islam yang mahu ke rumah ibadat agama lain selagi tidak mengikuti upacara agama itu.

“Saya bukan pakar tetapi saya belajarlah apa yang PAS kata," katanya secara sinis.

Projek Artikel 11 ialah program yang melibatkan golongan belia dibawa mengunjungi rumah ibadat pelbagai agama sebagai sebahagian daripada usaha Impact Malaysia meningkatkan kesedaran masyarakat majmuk di negara ini.

Cuma mahu alih tumpuan

Aktivis Bersatu, Badrul Hisham Shaharin, kemudian mendakwa Impact Malaysia menjalankan program Kristian Evengelist melalui menteri belia dan sukan yang baru.

Semasa berbahas dalam sidang Dewan Rakyat, Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) pula mempersoalkan program tersebut termasuk pertambahan peruntukan yang diberikan kepada Impact Malaysia melalui belanjawan tahun ini.

Menjelaskan lebih lanjut Yeoh turut memetik kenyataan dibuat Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Katanya pada 2015 ahli parlimen Marang itu sendiri pernah melawat gereja di Miri, Sarawak.

"Bertukar fikiran, Abdul Hadi kata. Kemudian, beliau adakan perbincangan dua hala dan saling bertukar-tukar fikiran amat menarik dan ia bertujuan mengeratkan hubungan dalam masyarakat majmuk, khususnya di Sarawak,” kata Yeoh dalam ucapan penggulungan kementeriannya hari ini.

Menegaskan bahawa Bersatu memang sengaja membuat mengaitkan dirinya dengan dakwaan Kristianisasi Yeoh menasihati pemimpin parti terbabit agar menyemak terlebih dulu apa yang diperkatakan oleh rakan gabungan mereka dalam PN sebelum melemparkan sebarang tuduhan.

Dalam ucapannya juga Yeoh menegaskan setakat ini belum ada belia Islam menyertai program “Jom Ziarah Geraja” itu.

“Kementerian menerusi Impact Malaysia sememangnya tidak akan melibatkan penyertaan belia Muslim dan tiada belia Muslim yang akan memasuki gereja menerusi program ini,” katanya.

Untuk rekod Impact Malaysia sudah membuat penafian mereka terlibat dalam program Kristianisasi dan pegawai Yeoh juga telah membuat laporan polis terhadap Badrul Hisham atas dakwaan dilakukan bekas aktivis PKR terbabit.

Setakat ini, program Jom Ziarah di bawah Projek Artikel 11 telah membawa lapan belia Cina dan India ke Masjid Wilayah Persekutuan pada 4 Mac, dan tiga belia Cina ke Gurdwara Sahib di Shah Alam pada 11 Mac.

Menurut Yeoh, sebagai ahli politik yang pernah bertugas sebekas Speaker DUN Selangor selama lima tahun - serta menjadi Adun selama 10 tahun - dia amat mengenali Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai agama persekutuan.

“Jadi yang memfitnah saya menggunakan agensi di bawah KBS untuk tujuan tersebut adalah tuduhan yang melampau dan mahu menjadikan saya sebagai punching bag (sasaran) bagi menutup dakwaan salah laku yang dihadapi oleh para pemimpin mereka,” katanya.